Wednesday, September 27, 2006

Patutkah Mahathir Ditahan di Rumahnya ? (Bahagian III)

Mahathir Dihantui Undang-Undang

Kebelakangan ini Mahathir sibuk membentang pelbagai perkara untuk mempelekeh pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi. Memang ada yang benar dalam segala kenyataan beliau itu. Tetapi, seperti yang kita dedahkan dalam beberapa siri artikel di sini, Mahathir juga mesti bertanggungjawab kepada segala tindakannya yang membelakangkan undang-undang.

Atas permintaan ramai kita terjemahkan artikel di bawah yang ditulis oleh Tun Salleh Abbas.



Nazri, berikut adalah fakta terbaru kes itu

Sep 26, 06 7:25pm

Berikut adalah kenyataan sepenuhnya daripada mantan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas, yang telah diemel kepada Malaysiakini hari ini:

Saya harus berterima kasih kepada Nazri Aziz (menteri defakto undang-undang) kerana bersetuju mengulangkaji krisis perundangan 1988 “seandainya wujud fakta baru dan penting”

Sebagai respons kepada komen itu, nampaknya dia tidak pun bersetuju membuat kajian semula disebabkan keputusan dua tribunal – yang pertama terhadap saya dan yang lagi satu yang membuatkan ketentuan keatas lima lagi rakan sejawat – telah diterima oleh Yang di Pertuan Agong dan kerajaan pada 1988. Justeru, dia bersetuju untuk membuat penilaian semula hanya “kalau wujud fakta terbaru dan penting berkaitan dengan kes itu.”

Keengganan mengkaji semula krisis perundangan 1988 itu, yang berhormat menteri nampaknya menyandarkan begitu tinggi kepercayaan terhadap fakta bahawasanya penerimaan cadangan-cadangan oleh kedua-dua tribunal itu telah juga turut diterima oleh Yang di Pertuan Agong.

Mengikut Pekara 40(1) Perlembagaan Persekutuan, Yang di Pertuan agong (YDPA) sebagai raja berperlembagaan hendaklah bertindak “mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnnya oleh Perlembagaan.”

Dengan hal yang demikian, YDPA tidak berhak menolak nasihat yang dikemukakan oleh kabinet ataupun perdana menteri. Kes ini diperjelaskan lagi dalam Perkara 66(4)(a) yang menyebut: “Jika sesuatu Rang Undang-Undang tidak diperkemaskan oleh YDPA dalam masa yang ditentukan dalam Fasal (4)Rang Undang-Undang itu hendaklah menjadi undang-undang apabila habis masa yang ditentukan (yakni tiga bulan) dalam Fasal ini, mengikut cara yang sama seolah-olah dia telah memperkenankannya.

Sejarah negara ini menunjukkan bahawa YDPA tidak pernah bertindak menentang kehendak Perdana Menteri ataupun kabinet termasuk isu menafikan raja-raja akan hak imuniti mereka. Dengan itu memang tidak ada ruang langsung untuk YDPA menolak perkenan menerima cadangan dua tribunal itu semasa dikemukakan kepada Baginda.

Saya berpendapat, tidak ada gunanya menyandarkan penekanan terhadap penerimaan syor dua tribunal itu oleh YDPA, kerana mengikut peruntukan perlembagaan dan amalannya, kuasa yang ada pada Baginda, sudah pun menjadi semata-mata berbentuk prosedur sahaja dan melambangkan kehendak kerajaan Baginda, walaupun perdana menteri ketika itu sudahpun berperangai seorang diktator. Hakikat bahawa kerajan semasa itu adalah satu kerajaan berdiktator sudahpun diperakui sendiri oleh menteri berkenaan dalam salah satu kenyataan akhbar beliau yang terkini.

Berkaitan dengan “fakta terbaru dan penting” yang dijadikan syarat serta yang disebut-sebut oleh menteri berkenaan sebelum boleh dibuat kajian semula, segala fakta itu sebenarnya harus diserahkan kepada tribunal ataupun suruhanjaya (ataupun mana-mana badan yang bertanggungjawab) melakukan siasatan perkara itu, seandainya kerajaan bertindak memerintahkan kajian semula. Namun, apabila menteri menyatakan persetujuan mengadakan kajian semula krisis perundangan 1988 itu hanya kalau ada “fakta penting dan baru” biarlah saya sentuh lima kejadian secara bersahaja tanpa mendedahkan butirannya secara lanjut:

Peristiwa Pertama:

Kejadian pertama ada kaitan dengan ‘pertemuan saya dengan perdana menteri’ (Dr. Mahathir Mohamad) di pejabat beliau pada 27 Mei, 1988 disaksikan oleh timbalan perdana menteri ketika itu (Ghafar Baba) dan ketua setiausaha negera ketika tiu (Sallehuddin Mohamed)

Saya telah diminta oleh perdana menteri ketika itu agar berundur kerana saya telah dikenakan tuduhan berat sebelah (bias) semasa menjalankan tugas kehakiman saya. Saya beranggapan bahawa tuduhan itu mesti ada hubungkait dengan kes ‘UMNO 11’. Itulah kes di mana saya telah membuat keputusan menubuhkan satu panel yang dianggotai sembilan hakim Mahkamah Agong untuk menghakimi kes tersebut. Saya telah menolak tuduhan itu dengan kerasnya dan memberitahu perdana menteri ketika tiu bahawa saya belum lagi bersedia untuk melepaskan jawatan.

Kemudian dia mengugut mahu memecat saya dengan mewujudkan satu tribunal mengikut hukum perlembagaan. Saya menjawab kesediaan untuk dipecat dari melepaskan tugas ketika badan kehakiman sedang tergugat. Pertemuan itu tidak memakan masa yang lama dan selepas saya keluar daripada pejabat perdana menteri itu dan pulang ke kamar sendiri, saya terus mencatat apa yang berlaku di pertemuan itu. Catatan saya itu sudahpun tersiar dalam keluaran terkini Aliran.


Peristiwa Kedua

Kejadian kedua ialah melibatkan kedatangan seorang utusan pada hari yang sama. Beliau ialah seorang pegawai penting dalam kerajaan. Tujuan kedatangan beliau ialah memujuk saya agar melepas jawatan ataupun pergi mengambil cuti panjang dan pada waktu yang sama mengugut saya kemungkinan dipecat seandainya saya masih berdegil.

Seandainya saya sanggup melepaskan jawatan, saya akan ditawarkan satu jawatan lumayan di Jeddah sebagai seorang pengarah Bank Islam dengan gaji yang tinggi di luar impian saya beserta imbuhan dan elaun keraian yang tidak terhad serta perbelanjaan perjalanan.

Pegawai itu berkata beliau sudah diberikan kuasa untuk membawa pesan itu kepada saya oleh seorang menteri yang penting. Apabila saya menjawab tidak akan menerima tawaran itu, saya telah diugut akan dipecat dan diaibkan dengan berdepan satu tribunal. Jawapan saya kepada utusan itu adalah sama sahaja seperti yang saya berikan kepada perdana menteri di awal hari yang sama.

Peristiwa Ketiga

Kejadian yang ketiga telah terjadi pada 24 Jun, 1988, hampir satu bulan selepas saya digantung sebagai “Lord President’ apabila dua orang utusan yang baik hati datang ke rumah memberitahu betapa ada segelintir raja-raja telah berkumpul di Istana Kelantan di Jalan Kia Peng dan mahu menemui saya. Dengan bergegas-gegas saya menghadirkan diri kepada baginda raja-raja.

Saya telah diberitahu bahawa YDPA (Baginda Sultan Johor) baru sahaja keluar daripda bilik persidangan. Yang menjadi pengerusi majlis menemui saya ialah DYMM Raja Perlis (Almarhum) dan turut hadir sama ialah raja-raja Melayu lain ataupun wakil peribadi mereka. (Sultan Kedah dan Selangor berada di luar Negara dan Sultan Pahang tidak dapat hadir kerana permaisuri baginda gering dan mangkat pada keesokan harinya).

Saya telah diberitahu oleh Baginda Raja Perlis betapa wujudnya persetujuan antara YDPA dan raja-raja yang hadir ketika itu, seandainya saya bersetuju meminta ampun daripada YDPA kerana menulis warkah (yang telah pun diketepikan) kepada YDPA di kediaman baginda di Istana Bukit Serene di Johor Baru, penggantungan saya akan ditarik balik dan perkara itu akan dikira selesai.

Saya telah merancang untuk pergi ke Istana Bukit Serene dengan ketua penasihat guaman saya, yang Mulia Raja Aziz Addruse. Disebabkan gagal membeli tiket tempat duduk perjalanan kapal terbang, saya mengambil keputusan pergi ke Johor Baru dengan berkereta dan Yang Mulia Raja Aziz menyewa sebuah pesawat swasta untuk tujuan yang sama. Setiba di Johor Bahru, saya telah dibenarkan memasuki ruang istana tetapi yang Mulia Raja Aziz, walaupun bertungkus lumus mendapatkan pesawat terbang untuk disewanya, hanya mampu mendekati ruang pintu gerbang Istana dan tidak dibenarkan masuk.

Ketika di Istana, saya dapat rasakan kehampaan di luar jangkaan. Lawatan saya itu adalah satu kegagalan setelah Yang Di Pertuan Agong, menerima sebelum itu kedatangan dua orang pegawai tinggi kerajaan daripada Kuala Lumpur yang membawa pesan agar tidak mengampunkan kesalahan yang telah saya lakukan.

Peristiwa Keempat

Kejadian keempat adalah berkaitan dnegan penggantungan rakan sekerja saya yang berakhir dengan dua darinya telah dipecat. Penggantungan itu sengaja dirancang dengan tujuan untuk mencegah mereka daripada mendengar kes permohonan saya agar dilakukan kajian semula dan mencabar kesahihan dari segi perlembagaan pengantungan saya dan keanggotaan tribunal yang mendengar kes menyebabkan saya dipecat.

Ada seorang hakim Mahkamah Tinggi yang enggan mendengar kes permohonan saya dengan cara pura-pura sakit pada hari kes itu dibentangkan di mahkamah. Pengganti beliau telah beria-ia melakukan yang terbaik untuk menangguhkan kes itu dan apabila dia berjaya akhirnya, kes saya telah ditolak. Saya telah merayu kepada Mahkamah Agong dan berjaya.

Adalah menjadi amalan mahkamah untuk melekatkan mohor mahkamah kepada arahan yang diserahkan kepada mana-mana responden. Ketua Pendaftar Mahkamah Agung adalah penyimpan mohor itu, tetapi apabila saya berjaya dengan rayuan saya, mohor itu tidak pula dapat dikesan seolah-olah ia telah disorokkan. Namun, setelah dicari-cari oleh Almarhum Wan Sulaiman Pawanteh, terjumpa juga mohor itu akhirnya.

Kemudian, arahan mahkamah yang dimeterai dengan mohor mahkamah perlu diserahkan kepada tribunal si responden yang terletak di Rumah Parlimen. Akan tetapi apabila peguam saya Raja Aziz cuba menyerahkan arahan itu kepada respnden, dia dapati pihak yang berkuasa telah menutup pintu masuk Parlimen. Namun, dengan permintaan Almarhum Wan Sulaiman yang dikemukakan kepada pejabat Ketua Polis Negara pintu pagar itu telah dibuka dan arahan mahkamah itu telah diserahkan.

Walaupun arahan itu sudah diterima, tribunal tetap meneruskan hukumannya. Kesannya, gara-gara saya enggan menghormati keanggotaan tribunal itu khususnya perlantikan pengerusi tribunal dianggap satu salahlaku keadilan, saya telah dikenakan hukuman secara ‘in absentia’ (tanpa kehadiran diri) dan didapati bersalah dan dengan itu dipecat.

Kelima-lima hakim Mahkamah Agong yang telah mengizinkan permohonan saya telah digantung dari tugas mereka. Satu lagi tribunal telah diwujudkan untuk mengadili mereka dan dua orang hakim yang berani, almarhum Wan Suleiman dan Hakim George Seah telah dipecat. Tiga orang hakim yang lain, Eusoffe Abdoolcader, Azmi Kamaruddin dan Wan Hamzah Mohamad Salleh telah dibenarkan bertugas semula.

Kalaulah hukuman Mahkamah Agong telah diterima pakai, pengekalan jawatan saya semula sudah tentu dikuatkuasakan dan ini sudah tentu tidak diingini bukan sahaja oleh kerajaan pada hari itu tetapi oleh mereka yang pasti meraih faedah daripada pemecatan saya. Lantas, lima rakan sejawat saya telah digantung walaupun tidak bersalah dan kesannya membawa padah yang amat mengena mereka dan ahli keluarga mereka sehingga hari ini.


Peristiwa Kelima

Kejadian yang kelima adalah mengenai tindakan kerajaan menafikan hak imuniti ataupun kekebalan pihak raja-raja. Almarhum Tun Sufian Hashim dan saya pernah bertindak sebagai penasihat kepada raja-raja. Ketika itu baginda Sultan Johor tidak lagi menjadi YDPA dan baginda amat ghairah mahu tahu apakah tujuan sebenar kerajaan.

Itulah pertemuan saya kali pertama dengan baginda selepas saya dipecat. Baginda telah berterus terang menyatakan tanpa teragak-agak betapa baginda amat menyesal dengan kejadian yang telah menimpa saya kerana baginda menyebutnya ketika itu betapa baginda “telah dipergunakan”. Saya telah menjawab tidak ada gunanya baginda menyesal kerana saya seorang tetapi baginda harus menyatakan kekesalan itu dan memohon maaf kepada rakyat negara ini kerana negara sudah kehilangan satu badan kehakiman yang bebas satu ketika dulu dan mampu menjaga hak mereka.

Kemudian saya telah dipanggil mengadap Baginda di Istana Bukit Serene untk memberikan nasihat guaman setelah baginda mendapat tahu adanya rang undang-undang yang dibentang di parlimen untuk memansuhkan Johor Military Force (JMF). Saya memberitahu baginda bahawa JMF yang ditubuhkan jauh lebih awal dari Regimen Askar Melayu, merupakan sebahagian hak dan keistimewaan Sultan Johor, dan mengikut undang-undang dan tanpa perkenan Baginda, hak keistimewaan itu tidak boleh ditarik balik

Pandangan itu telah diperaku oleh Niel Lawson, seorang Queen’s Counsel, yang pernah menjadi penasihat undang-undang raja-raja Melayu semasa berlakunya perundingan untuk mencapai kemerdekaan. Memang tidak syak lagi betapa Baginda merasa lega dengan usaha saya menyelesaikan kerisauan baginda dan sebagai penghargaan, baginda telah sanggup meminta maaf secara terbuka di Johor Baru terhadap pembabitan Baginda dalam pemecatan saya.

Istana Johor telah mula membuat persiapan akan majlis terbuka itu, tetapi sekali lagi tangan ghaib yang berkuasa di Kuala Lumpur berjaya memujuk baginda daripada menunaikan janjinya.

Indentiti orang yang tidak bernama

Yang disebut diatas tadi adalah beberapa fakta baru yang saya harap membolehkan Nazri mengubah pendiriannya. Segala kejadian itu memang tidak syak lagi menunjukkan apa juga yang akan terjadi saya mesti dipaksa melepaskan jawatan. Sudah tentu ada banyak lagi kejadian lain dan butirannya yang akan muncul dan timbul seandainya kajian semula itu diadakan tetapi untuk sementara waktu, saya akan peram dulu identiti nama-nama orang yang disebut dalam kenyataan ini.

Berkenaan respon dua lagi hakim yang telah dipecat itu, Wan Sulaiman sudah pun lama meninggal dunia dan tidak besama kami. Namun, balu beliau memang menyokong diadakan kajian semula itu. Akan tetapi ada satu ucapan yang dituturkan oleh Almarhum Tun Sufian dalam satu majlis yang khusus diadakan oleh Majlis Peguam mengenang Wan Sulaiman dan penghormatan itu harus menjadi satu petunjuk kepada peranan yang dilaksanakan oleh bekas sahabat sejawatan saya itu sepanjang krisis tersebut, yang mengikut budibicara Tun Sufian memang tidak sepatutnya beliau dipecat.

George Seah kini bukan sihat sangat untuk membuat sebarang sumbangan kepada pelawaan Nazri untuk menyediakan ‘fakta baru’ tetapi terdapat beberapa siri artikel beliu mengenai krisis itu yang pernah ditulisnya tidak lama dulu dan terus berada dalam laman web Majlis Peguam dan Aliran. Memahami perwatakan almarhum Eusoffe Abdoolcader, saya percaya almarhum juga menyokong kajian semula ini. Azmi Kamaruddin memang sudah lama mendesak diadakan kajian semula. Saya yakin Wan Hamzah turut menyetujui perkara ini.

Bersandarkan segala alasan ini, saya harap Nazri akan mengemukan satu cadangan kepada kabinet agar diadakan kajian semula keatas krisis perundangan 1998 supaya kebenaran episode yang penting ini dalam lipatan sejarah Negara dapat didedahkan.

Tun Salleh Abas
Sept 26, 2006

- Marhaintua -

0 Comments:

Post a Comment

<< Home