Saturday, November 04, 2006

Dolahget

Dolahget
(Dolahgate)
Oleh Raja Petra Kamarudin - Malaysia Today - 3 Nov 2006
Terjemahan -marhaintua-


Pada 28 September 2006 Majlis Tertinggi UMNO telah bersidang. Antara yang tertulis dalam agenda ialah apa yang perlu dilakukan ke atas seorang anggota UMNO tertentu yang didakwa telah melanggar disiplin parti dan peraturannya dengan mengkritik Perdana Menteri dalam laman blog yang dimilikinya. Anggota UMNO itu ialah Zaharin Yasin dan blog beliau ialah ‘Sang Kelembai’. Sesungguhnya perkara itu bukanlah serius sangat kerana beliau mengkritik Perdana Menteri jika dibandingkan dengan sikap beliau menyokong mantan Perdana Menteri. Itu adalah satu isu besar.

Penyingkiran Zaharin telah dilakukan secara amat ganjil. Sebelum itu, Lembaga Disiplin UMNO telah bersidang untuk mengkaji tingkah-laku Zaharin dan membuat keputusan bahawa ‘jenayah’ beliau adalah tidak serius untuk memestikan beliau dipecat. Satu amaran dan nasihat sudah dianggap mencukupi. Itulah keputusan Lembaga Disiplin yang dikemukakan kepada Majlis Tertinggi. Akan tetapi belum pun sempat Timbalan Presiden Najib Tun Razak menyudahkan membaca laporan Lembaga itu, Presiden Parti, Abdullah Ahmad Badawi telah mencelah dan mencadangkan agar Zaharin dihumban keluar parti.

Separuh anggota MT yang hadir tidak pun sedar apa yang sedang berlaku. Ada segelintir sibuk berborak dan berjenaka. Yang lain sibuk dengan fon mereka ataupun menghantar pesanan SMS. Apa yang mereka dengar ialah segelintir ahli yang hadir berkata “Setuju!”. Ada sesuatu yang telah dipersetujui tetapi mereka tidak pasti lagi apa bendanya. Setuju dengan pemecatan Zaharin. Apa? Bilakah keputusan itu dibuat? Apakah kita membincangkan isu itu ataupun mendebatkannya? Tidak, perkara itu tidak pun dibincangkan atau didebatkan. Najib cuba membaca laporan tetapi sebelum dia dapat sampai ke pertengahannya, Abdullah mencelah dan mencadangkan bahawa Zaharin dipecat.

Seorang anggota menyebut ‘setuju' dan separuh anggota yang ada dalam Majlis Tertinggi itu telah turut melaungkan perkataan yang serupa - setuju - sementara separuh yang lain saling pandang-memandang terpinga-pinga tanpa memahami apakah benda yang buat mereka kena setuju.

Demikianlah berakhirnya kerjaya Zaharin yang panjang dan penuh warna-warni dengan UMNO. Beliau telah melakukan satu dosa besar. Beliau telah mengkritik Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi. Memanglah, ahli UMNO dibenarkan mengkritik. Mereka boleh mengkritik Perdana Menteri di zaman sebelum Abdullah naik menjadi Perdana Menteri. Mereka boleh mengkritik orang Melayu. Mereka boleh mengkritik raja-raja dan menggelarkan mereka itu lanun dan penyangak (walaupun kalau mengikut Akta Hasutan Malaysia perbuatan itu tidak boleh dibenarkan.) Mereka boleh mengkritik Islam, malahan mereka boleh mengkritik Al-Quran dan Allah dengan mengatakan bahawa hukum Islam sudah ketinggalan zaman di zaman moden ini. Tetapi mereka tidak boleh mengkritik Abdullah Ahmad Badawi. Ini dianggap lebih dahsyat daripada mengkritik Allah. Itu sebabnya Zaharin mesti dihumban keluar parti. Sekali gus ia menamatkan kewibawaan dan martabat serta kebebasan Lembaga Disiplin UMNO. Kini, Presiden Parti boleh menolak tepi dan mengabaikan keputusan Lembaga itu. Abdullah Ahmad Badawi kini sudah menjadi Lembaga Disiplin seorang diri.

Akan tetapi ada perkara lain yang terjadi pada persidangan Majlis Tertinggi UMNO yang sama. Sebelum pemecatan Zaharin dibuat, Setiausaha Agung telah membentangkan Minit Persidangan Majlis Tertinggi yang lalu, mengikut amalan yang biasa dilakukan. Rais Yatim telah terkejut apabila Minit Mesyuarat telah menyenaraikan antara lainnya dalam agenda untuk dibincangkan; satu perkara yang pernah dibangkitkan dalam mesyuarat yang lalu. Itulah dia mesyuarat Bahagian Kubang Pasu di mana Tun Dr. Mahathir Mohamad telah dijangka bertanding untuk menjadi salah seorang anggota perwakilan ke Persidangan Tahunan UMNO yang dijadualkan pada pertengahan November 2006.

Rais Yatim berkata adalah bodoh dan berbahaya kalau perkara seperti itu muncul dalam Minit Mesyuarat. Memang, mereka ada membincangkan perkara itu pada pertemuan dahulu dan keputusan Majlis Tertinggi ialah memberi arahan kepada Menteri Besar (Kedah) agar menentukan Mahathir kalah. Tidak kiralah apa caranya, Mahathir tidak boleh diberi menang dan apa yang perlu dibuat, mesti dilakukan. Akan tetapi ini kerja haram. Ini adalah mencemar dan melanggar perlembagaan parti. Penglibatan dalam kerja haram seperti masuk campur dalam mesyuarat bahagian dan memutarbelitkan keputusan pertandingan adalah satu kerja haram, tetapi memasukkan kisah itu dalam minit mesyuarat sudah tentu semacam kerja anak haram.

Rahim Tamby Chik dan Aziz Shamsuddin kelihatan tidak selesa di kerusi mereka. Mereka sedar apa yang dibangkitkan oleh Rais memang ada kebenarannya. Bagaimana mungkin Setiausaha Agung parti begitu tongong memasukkan perkara semacam ini dalam minit mesyuarat? Pertama, Majlis Tertinggi UMNO sepatutnya tidak membincangkan perkara ini dan lebih dahsyat lagi membuat keputusan melakukan kerja-kerja mensabotaj peluang Mahathir untuk menang. Akan tetapi meminitkan pula perkara itu…… aduhai!!!!! Ini adalah satu harakiri. Kini, keseluruhan Majlis Tertinggi UMNO termasuk Presiden dan Timbalan Presiden boleh dikaitkan dalam “Konspirasi Mengenakan Mahathir”. Ini adalah satu skandal yang semacam skandal ‘Watergate’ di Amerika. Inilah Watergate ala Malaysia, kononnya. Inilah Dolahget!!!!!!

Semua anggota Majlis Tertinggi UMNO telah diberi arahan untuk memulangkan kertas Minit Mesyuarat supaya satu minit baru dapat ditaip dan dipekapkan di bahagian yang akan dipadamkan. Kerja-kerja mensabotaj Mahathir adalah satu kerja haram dan Majlis Tertinggi UMNO tidak seharusnya terbabit dengan kerja busuk itu. Memanglah mereka ada membincangkan perkara itu. Memanglah juga mereka telah membuat keputusan untuk mensabotaj Mahathir. Tetapi perkara semacam ini tidak boleh dimasukkan dalam rekod dan tidak diselitkan dalam Minit Mesyuarat. Kerana itu perenggan baru perlu dibuat pada Minit yang baru dan dilekapkan pada ayat yang akan dipadamkan. Kalaulah versi sebenar Minit yang asal jatuh ke tangan seseorang bererti keseluruhan Majlis Tertinggi UMNO, termasuk Presiden dan Timbalannya, terpaksa meletakkan jawatan. Anggota Lembaga Disiplin Parti pun terpaksa melepaskan jawatan kerana mereka dianggap bersekongkol sedangkan mereka sepatutnya mencegah perbuatan semacam itu ataupun bertindak terhadap sesiapa yang melakukan perbuatan itu.

Kalaulah Minit ini menjadi pengetahuan umum sudah pasti akan muncul satu krisis dalam UMNO. Semua pemimpin UMNO yang menduduki Majlis Tertinggi terpaksa dipecat UMNO akan ketiadaan pemimpin tertinggi kecuali orang seperti Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah. Akan berlaku satu kelompongan dalam pucuk kepimpinan Parti dan Ku Li terpaksa mengisi kelompongan ini sebagai Perdana Menteri Sementara.

Malahan semua anggota Majlis Tertinggi parti yang juga merupakan anggota Parlimen dan anggota Dewan Undangan Negeri terpaksa bertukar status sebagai wakil rakyat ‘bebas” dan tidak lagi mewakili UMNO ataupun Barisan Nasional. Barisan Nasional tidak akan kehilangan suara majoriti di Parlimen, tetapi UMNO akan tamat menjadi sebuah parti utama dalam pakatan pemerintah.

Implikasinya memang amat luas dan menular. Ia bukan sahaja menjejaskan kedudukan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, dan juga keseluruhan Majlis Tertinggi UMNO, tetapi ia juga akan menjejaskan status UMNO yang sebenar dan Barisan Nasional. Ini bukan semata-mata pelanggaran disiplin parti. Ini bukan semata-mata satu jenayah mengkritik Presiden parti dan Perdana Menteri. Ini adalah satu kerja haram yang akan menggugat keseluruhan UMNO. Justeru perkara ini tidak boleh sampai ke pengetahuan rakyat marhaen. Perkara ini tidak boleh diselitkan dalam Minit Mesyuarat.

Perkara ini mesti dihumban daripada minit dan semua pihak mesti berpura-pura ia tidak pernah terjadi. Tidak mesti ada sebarang bukti bahawa Majlis Tertinggi pernah membincangkan perkara Mahathir bertanding untuk dicalonkan sebagai anggota perwakilan Kubang Pasu, ataupun keputusan Majlis Tertinggi untuk mensabotaj peluang beliau. Perkara ini mesti tetap kekal di luar rekod walaupun ia pernah dibincangkan secara rasminya dalam satu mesyuarat yang sempurna dan bukannya satu perbincangan sampingan di luar bilik mesyuarat.

Kehadiran perwakilan Kubang Pasu di Persidangan Tahunan UMNO pada pertengahan November nanti sudah menjadi satu teka-teki. Oleh kerana Majlis Tertinggi UMNO masuk campur dalam mesyuarat Kubang Pasu dan mempengaruhi hasil mesyuarat itu, bererti mesyuarat Kubang Pasu dianggap tidak sah. Akan tetapi siapakah di kalangan Majlis Tertinggi UMNO berani maju ke depan dan mengisytiharkan bahawa mereka memang ada membincangkan kisah Mahathir mahu bertanding jawatan anggota perwakilan, ataupun Majlis Tertinggi UMNO pernah membuat keputusan untuk mensabotaj Mahathir ataupun perkara ini pernah dicatat dalam Minit Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada 28 September 2006. Ataupun minit tersebut telah ditarik balik dan diganti dengan minit yang baru untuk menghumbankan bahagian yang lama itu.

Mukhriz Mahathir, adalah antara mereka yang menang jawatan untuk menjadi kumpulan perwakilan. Sepatutnya dia harus mengisytiharkan yang dia menghadiri majlis persidangan tahunan UMNO itu sebagai seorang pemerhati sahaja dan bukan sebagai seorang perwakilan, kerana pelantikan beliau sebagai ahli perwakilan kini dianggap tidak sah disebabkan campurtangan Majlis Tertinggi UMNO. Mahathir harus mencabar keseluruhan Majlis Tertinggi UMNO, Presiden Parti dan Timbalan Presiden agar maju ke hadapan dan mengangkat sumpah bahawa semua ini tidak pernah terjadi.

Tindakan Majlis Tertinggi UMNO ini memang sebesar skandal Watergate. Inilah skandal Watergate ala Malaysia. Inilah dia DOLAHGET. Kalau perkara semacam ini berlaku di negara lain, kerajaan yang ada pasti tumbang. Tetapi di Malaysia mereka hanya perlu menarik balik Minit Mesyuarat dan taip semula satu Minit baru. Alahai………..seperti yang mereka selalu kata di negara ini --- Malaysia Boleh….!

Diterjemahkan oleh: -marhaintua-

0 Comments:

Post a Comment

<< Home