Thursday, November 02, 2006

Bukan Jenisnya Yang Boleh Bersara

Bukan Jenisnya Yang Boleh Bersara
(Not the Retiring Type)
Oleh Hannah Beech - Time Asia
Terjhemahan – marhaintua-
1.11.2006.

--------------------------------------------------------------------------------

Mantan Perdana Menteri Malaysia, Mahathir Mohamad, sedang menyagat penggantinya dalam pertentangan mengenai masa depan negara.

Menara keemasan di Putrajaya berkilauan terkena pancaran mentari. Di bahagian bawah, laman yang dijaga rapi dan deretan rumah kediaman pegawai kerajaan kelihatan cantik tersusun. Tidak ada helaian rumput yang hidup memanjang tanpa diketam di bekas ladang kelapa sawit yang bertukar wajah menepati wawasan dan impian seorang insan. Namun ada sebatang jalan di Putrajaya yang amat berbeza. Walaupun laluannya memberikan pemandangan indah ke atas menara berbentuk bawang yang kini melambangkan pejabat seorang Perdana Menteri, laluan asphalt itu kelihatan dipinggiri rumpai dan pohon renek yang hidup melata dan terbiar. Tidak ada pencakar langit yang berakar umbi di sini. Hanya sebuah bangunan sahaja yang tegak sendirian di hujung jalan mati: itulah pejabat mantan Perdana Menteri Mahathir Mohamad, insan yang mengambil masa dua dekad menjadikan Malaysia muncul sebagai satu harimau ekonomi dan mempunyai impian gah dan besar untuk membina Putrajaya. Yang menjadi ironis kepada Mahathir yang sudah pun melepasi 81 tahun, keadaan tentu semakin menimbulkan teka-teki apakah begini perjalannnya kisah satu usaha permodenan yang sungguh perkasa satu ketika dahulu semasa menghampiri garis penamatnya di jalan mati yang tidak diselia dengan rapi lagi dalam perjalanan ke metropolis yang pernah diwujudkannya?

Tiga tahun yang lalu, arkitek permodenan Malaysia menamatkan cengkaman kuasa yang berusia 22 tahun dengan melepaskan kuasa itu kepada Abdullah Ahmad Badawi, seorang pemimpin beragama Islam yang warak keturunan keluarga politik yang elit. Dr. M, seperti mana orang ramai (di Malaysia) mengenali doktor yang bertukar menjadi pemimpin politik telah berjanji untuk berundur secara terhormat dan senyap sahaja. Untuk satu ketika dia menepati janjinya. Mahathir sibuk dengan kutubkhanah peribadinya – yang termuat juga pelbagai koleksi seperti ‘Euclid’s Elements’’, autobiografi Margaret Thatcher dan ‘The Complete Idiot’s Guide to Understanding Islam’ - dan beliau turut membuka satu perniagaan membuat roti di Pulau Langkawi. Akan tetapi sebaik sahaja muncul Jun tahun ini, Dr. M tidak lagi mampu menguasai lidahnya yang memang terkenal amat berapi. Beliau telah menyerang Abdullah dengan tuduhan bahawa beliau tersilap diberi nasihat kerana membatalkan beberapa projek besar (mega) yang pernah diluluskannya dahulu, termasuklah projek membina landasan keretapi (berkembar) bernilai $4 bilion, dan satu jambatan untuk menghubungi Singapura. Beberapa minggu berikutnya Mahathir sudah melalak agar Abdullah berundur melepaskan jawatannya, sambil menuduh korupsi dan nepotisme dalam pentadbiran baru – tanpa mengemukakan bahan bukti untuk menyokong tuduhan salahlaku itu.

Pada 22 Oktober (2006) mereka berdua telah bertemu untuk dua jam, sambil mencetuskan harapan akan berlaku juga satu penyelesaian. Malangnya, tidak ada. Minggu lalu, Mahathir telah meneruskan halilintarnya terhadap orang pilihannya, menuduh beliau terlibat dengan skandal projek PBB ‘Minyak-untuk Makanan’ di Iraq dan mewujudkan satu Negara Kepolisan di mana kritikan Mahathir tidak dapat didengar. Beliau menuduh bahawa Abdullah sudah mula merungkai legasinya - dan sekali gus mempertaruhkan masa depan Malaysia. “Saya anggap telah melakukan banyak perkara yang akan berguna kepada kita untuk 100 tahun akan datang,” kata Mahathir kepada TIME di pejabat beliau di Putrajaya. “Apa yang perlu dilaksanakan ialah agar ia diteruskan. Jangan berundur (gostan) dengan segala yang telah dilaksanakan.” Dalam satu penjelasan bertulis kepada TIME minggu lalu, Abdullah membalas: “Ketika saya naik menjadi Perdana Menteri, saya telah galakan keterbukaan dan tidak mahu memekap pendapat yang berbeza-beza. Kami adalah sebuah negara berdemokrasi, dan adalah menjadi hak beliau (Mahathir) untuk bersuara, dia bebas menyatakannya apa sahaja. Adalah malang apabila dia sengaja membuat tuduhan melulu.”

Beberapa hari lagi menjelang bulan November, parti pemerintah yang dianggotai oleh Mahathir dan Abdullah, UMNO – dijadual mengadakan sidang tahunannya. Ramai anggota parti yang risau bahawa pertelagahan antara dua orang pemimpin ini akan merobek satu pakatan yang sudah begitu lama mengekalkan kuasa selam lima dekad. Sudah tentu, Mahathir bertindak kerana mahu mempertahankan apa yang dianggapnya sebagai ciptaannya yang diserahkan sebagai warisan Malaysia. Akan tetapi bisa segala serangannya itu mempamerkan sesuatu yang dianggap sebagai beliau sengaja membuat serangan peribadi. “{Mahathir} mahu menjatuhkan Abdullah,” dakwa Mohamed Nazri Abdul Aziz, menteri yang bertanggungjawab ke atas undang-undang dan urusan Parlimen, yang pernah bertugas di bawah Mahathir. “Beliau mahu memaksa dia menyerah kalah. Beliau perlu diberitahu bahawa beliau tidak lagi merupakan seorang Perdana Menteri. Kempen beliau itu bukanlah untuk kepentingan negara tetapi untuk kepentingan diri sahaja.”

Ketegangan ini menyerlahkan cabaran asas yang menghantui Malaysia. Sejak memperolehi kemerdekaan pada 1957, bekas jajahan British itu telah bertukar rupa daripada sebuah negara membangun yang terlalu bergantung kepada getah dan bijih timah menjadi satu kuasa industri yang berpengaruh di rantau itu. Ia menjadi salah satu pengeluar terbesar semikonduktor dan ‘hard disc drives’ di dunia ini

Nama Mahathir menjadi sinonim dengan pertukaran yang menakjubkan ini. Namun, segala kadar pertumbuhan yang menakjubkan dan kemunculan pencakar langit yang naik meninggi telah diwujudkan dengan satu harga juga. Untuk mengekalkan cengkaman kuasa dan membina pelbagai monumen di Malaysia yang menarik perhatian global – pusat pentadbiran Putrajaya, Menara Kembar Petronas, yang satu ketika dahulu merupakan yang tertinggi di dunia, Lebuhraya Multimedia, yang mahu dianggap laksana Lembah Silikon Asia, dan satu-satunya gelanggang Lumba Kereta Formula One di Asia Tenggara - Mahathir telah menggugat institusi lain yang tidak berapa bersinar tetapi tidak semesti kurang pentingnya - Parlimen, Perkhidmatan pentadbiran kerajaan, badan penghakiman, pihak media.

Ruang kabur dalam legasi Mahathir ternyata mula menampakkan raut mukanya. Masalah membarah seperti korupsi, kronisme dan nepotisme sudah lama menghakiskan pelaburan terus asing di Malaysia – jatuh 14% tahun lalu. Dengan munculnya alternatif yang menawan seperti China dan Vietnam, ekonomi Malaysia {yang mudah berbahasa Inggeris} tidak lagi mampu bergantung harap kepada segala faktor daya saingnya. Turut sama penting, walaupun usaha merapatkan hubungan etnik Malaysia agar tetap utuh di kalangan tiga kaum majoriti – Melayu, Cina dan India, hubungan antara tiga kaum ini nampaknya semakin renggang. Abdullah mungkin telah naik takhta dengan jolokan pujian bahawa beliau adalah pembawa perubahan dan pembina penyatuan, namun selama tiga tahun beliau berkuasa nampaknya tidak banyak penyelesaian yang mampu ditanganinya.

Apa pun, cara beliau menangani keretakan dalam ekonomi dan masyarakat Malaysia - serta pergeseran remeh-temeh dengan bekas ketuanya – yang akan menentukan kedudukan Malaysia dalam Asia yang serba baru. “Satu ketika dahulu kami pernah anggap bahawa kamilah contoh terbaik untuk Asia yang lain, kerana negara lain tidak stabil dan tidak berdemokrasi ataupun dicengkam pemerintahan tentera,” kata Tian Chua, Ketua Penerangan parti pembangkang KEADILAN. “Akan tetapi negara Asia yang lain telah berjaya menghambat kami dan ada juga yang sesetengahnya mampu menjuarai kami, kerana itu kami perlu melihat apa yang tersungkup di bawah permaidani untuk selama ini.”

Kepada seorang insan yang sudah begitu biasa dengan ambisi yang menegak, kerja-kerja memeriksa apa yang mereput di bawah permaidani tentulah tidak merupakan yang paling utama dalam pemikiran Mahathir. Dilahirkan pada 1925 di sebuah kampung di Kedah sebagai anak yang bongsu dari kalangan sembilan abang dan kakaknya, Mahathir telah berjaya mendapat biasiswa (tidak penuh) untuk mempelajari perubatan di Singapura. Pada 1959, dia sudah pun memiliki salah satu kereta mewah di tempatnya. Kereta itu jenis Pontiac Catalina, yang dipandu oleh seorang supir berbangsa Cina. {Ketika itu kebanyakan supir adalah berbangsa Melayu} Penyuburan lambang kuasa semacam itu telah menjadi satu penanda aras kepada kepimpinan beliau.

Di tahap awal cengkaman kuasanya, Mahathir telah mengecutkan kuasa raja-raja Melayu dengan menarik kuasa veto mereka, lantas memberikan kuasa mutlak kepada ketua eksekutif negara. Apabila Mahkamah Tinggi mengancam kesahihan UMNO, dia telah menyusun-atur agar lebih separuh hakim dipecat. Mahathir juga telah memperalatkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (Internal Security Act – ISA) yang merupakan satu undang-undang zalim - menahan dan menyumbat dalam penjara tanpa sebarang tuduhan beberapa orang yang begitu lantang menentang beliau. Akan tetapi dia juga menggunakan kuasa untuk menaikkan orang juga dengan memilih beberapa tauke Cina seperti Eric Chia untuk menguruskan Perwaja Steel. Dengan kuasa ‘diktat’ dia telah melancarkan pelbagai projek besar-besar seperti pencakar langit, empangan, lapangan terbang, stadium. “Saya berfikiran jauh ke depan, bukan 10 tahu, 20 tahun, {tetapi) 100 tahun ke hadapan,” kata Mahathir. “Semua yang saya bina ini sesungguhnya amat diperlukan oleh Malaysia.”

Pendirian untuk bertindak dulu dan memberikan penjelasan kemudiannya telah melibas balik apabila Mahathir merancang penggulingan bekas Timbalannya Anwar Ibrahim, yang telah lama mendesak agar dilakukan pembersihan UMNO daripada anasir korupsi. Akhirnya Anwar telah dikenakan hukuman penjara selama 15 tahun kerana tuduhan palsu sodomi dan salah gunakan kuasa. Inilah satu tuduhan yang dikutuk oleh kumpulan hak asasi manusia. Sejurus Anwar disumbat dalam penjara, parti pembangkang terbesar di Malaysia, PAS telah mengejutkan UMNO dengan merampas kuasa pentadbiran dua buah negeri, sebahagian sebabnya kerana agenda anti-korupsi. Di penghujung cengkaman kuasa Mahathir, golongan kelas menengah di bandar yang telah diwujudkan oleh dasar pengeksportan negara tidak lagi memberikan sokongan melulu kepada beliau. “Dasar modal insan yang baik yang diwujudkan oleh Mahathir dahulu telah melahirkan sebuah masyarakat awam yang mampu berfikir dan bersuara lantang,” kata Shahrir Samad, seorang anggota Majlis Tertinggi UMNO. “Akan tetapi Mahathir tidak mampu menangani ciptaannya. Dia lebih memahami bangunan tetapi tidak pula manusia.”

Orang yang akhirnya menjadi pilihan Mahathir untuk menggantikan beliau tidak boleh lebih berbeza. Abdullah 66, telah terkenal dalam UMNO sebagai seorang pendiam, sukakan keharmonian. Kalau Mahathir bersikap berterus terang dan tidak mengalah, Abdullah ternyata bersikap lemah-lembut dan peramah. “Abdullah bukanlah bijak macam Mahathir,” kata seorang kawan lama Mahathir yang merupakan seorang pegawai kerajaan yang sudah bersara, Shari Daud. “Tetapi dia tidak semacam Mahathir kerana dia berbincang dengan kabinetnya “Lima bulan selepas mengambil alih pucuk kepimpinan pada Oktober 2003, Abdullah telah memeranjatkan orang termasuk penyokongnya dengan menang besar dalam pilihan raya umum Malaysia. Ikrar kempen beliau untuk mengagihkan kekayaan secara lebih saksama dan membasmikan rasuah memang dipercayai ketika itu. Sambil menunjukkan beliau bebas daripada pengaruh mentornya, Abdullah telah membatalkan beberapa projek Mahathir yang berbentuk megalomania. Tauke besi keluli Chia telah dikenakan tuduhan jenayah kerana pecah amanah, sedangkan hukuman terhadap Anwar telah ditarik balik. “{Mahathir} telah menuduh saya tidak berbuat apa-apa sejak dua tahun yang lalu,” kata Abdullah kepada TIME. “Sebenarnya saya terpaksa mulakan dengan mengurangkan defisit bajet, mengubah keutamaan perbelanjaan dan menentukan kestabilan politik.”

Namun demikian, Abdullah sudah pun dilihat amat liat untuk mengambil tindakan tegas. Banyak reformasi beliau yang dikatakan berbentuk anti-rasuah sudah pun terhenti dan dasar ekonomi beliau belum lagi menentukan pertumbuhan yang dijangka berkisar sekitar 5% tahun depan – bolehlah dikatakan satu pencapaian sederhana dan bukannya satu kepujian. Tumpuan Abdullah ke arah memajukan sektor pertanian, sambil mahu mengurangkan kemiskinan, telah melencungkan dana daripada industri hi-tek yang pernah melonjakkan negara ke arena global. “Dai cakap segala yang muluk-muluk, tetapi akhirnya dia perlu melancarkan reformasi yang amat diperlukan,” kata Zaid Ibrahim, seorang anggota Parlimen UMO yang terkemuka.

Mana ada hasilnya yang mengagumkan: ”Malahan ia juga tidak membantu kempen anti-nepotisme yang dilancarkannya dahulu kerana anak lelakinya sendiri Kamaluddin dan anak menantunya Khairy Jamaluddin adalah dianggap terlalu rapat dengan anjung kuasa. Khairy yang merupakan Naib Ketua Pemuda UMNO yang berpengaruh itu telah disebut secara lantang oleh Mahathir sebagai pengaruh kuat, lebih-lebih lagi apabila beliau baru sahaja berusia 30 tahun. “Saya adalah kambing hitam yang amat mudah,” kata Khairy. “{Tetapi} segala keputusan yang membuatkan Mahathir tidak senang hati adalah hasil kerja Perdana Menteri dan Kabinetnya.”

Kalaulah Abdullah masih menikmati kemuncak populariti 2004 dahulu, apa yang disindir oleh Mahathir adalah amat mudah untuk diketepikan. Akan tetapi rakyat marhaen sudah mula memandang Abdullah sebagai seorang pemimpin yang tidak berkesan, segala rungutan Mahathir mengenai korupsi yang membarah dan kekurangan suntikan Kewangan sudah mula diperakui – malahan ada antara masalah itu pernah wujud di zaman pemerintahan Mahathir juga. Yang lebih penting, percanggahan cakap-cakap antara Mahathir dan Abdullah mungkin beralih fokus daripada isu yang besar-besar yang perlu diperdebat di peringkat nasional “Pertelagahan ini menyebabkan kita melencung daripada tumpuan,” kata Khairy. “Apabila tumpuan anda terganggu, sudah tentu anda tidak dapat melakukan sesuatu dengan sempurna.”

Yang dianggap isu paling besar ialah nasib Dasar Ekonomi Baru (DEB), satu usaha menjamin hak keistimewaan Melayu yang dimulakan oleh UMNO 35 tahun dahulu agar majoriti orang Melayu meraih kuasa ekonomi Dengan tujuan menyekat berulangnya peristiwa rusuhan kaum yang meledak pada 1969 dahulu, DEB telah membantu mewujudkan satu strata kelas menengah Melayu yang mampu bersaing dengan rakan-rakan China dan India. Pada bulan lalu ada satu badan pemikir yang mencadangkan bahawa jumlah ekuiti korporat yang menjadi pegangan orang Melayu adalah lebih besar daripada yang dianggar oleh kerajaan setakat 19%, sahaja. Dari Abdullah hinggalah menurun ke bawah, kerajaan telah mengutuk laporan itu sebagai tidak berasas dan menyalahkannya (badan pemikir itu) sebagai sengaja mahu mencetuskan pergeseran etnik. Badan pemikir itu telah pun menarik balik kertas kajian mereka, menyebabkan penulisnya meletakkan jawatan sebagai protes.

Pada waktu yang sama segelintir penganalis telah mengaitkan kisah kuota perkauman dalam DEB Itu adalah disebabkan penurunan FDI (Pelaburan Terus Asing) di Malaysia. Memang tidak syak lagi bahawa Malaysia sedang menjurus ke arah perpisahan kaum. Hanya 6% ibu bapa Cina sekarang ini yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah rendah kerajaan yang didominasi oleh orang Melayu, berbanding 50% tiga dekad yang lalu. “Semasa saya membesar di Malaysia dan belajar di sekolah kebangsaan, saya tidak pernah membayangkan bahawa negara boleh mempolar sebegini rupa,” kata Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP yang didominasi oleh orang Cina.

Yang menjadi tumpuan dalam debat perkauman ialah bagaimana agama boleh mewarnai sebuah negara yang sejarahnya telah berbangga dengan kefahaman sederhana Islam. Pada 2001, selepas PAS meraih kemenangan yang mengejutkan, Mahathir telah mengetepikan retoriknya yang kerap sekular dan mula mengiktiraf Malaysia sebagai sebuah “negara Islam.” Abdullah yang lulus kajian Islam dengan ijazah Sarjana Muda, telah mencipta “Islam Hadhari” sebagai satu falsafah pemerintahan berasaskan ajaran Islam yang sederhana, menjadi pusat penjana pentadbirannya. Akan tetapi kepada masyarakat Islam yang menjadi semakin konservatif, pemakaian tudung oleh kaum wanita sudah nampak semakin meningkat -- ini pun belum lagi jelas apakah formula yang ada itu sudah mencukupi. Mahathir yang satu ketika dahulu menggajikan seorang Cina sebagai supirnya dan mengutamakan Bahasa Melayu dalam retoriknya, jelas berjaya mengekalkan harmoni di kalangan semua kaum di Malaysia. Baru-baru ini Abdullah yang telah menaikkan pangkat seorang pegawai Cina sebagai ketua pembanteras jenayah negara nampaknya mengongsi tanggapan menyeluruh terhadap masyarakat Malaysia. Akan tetapi para pengkritik beliau berkata dia tidak berbuat apa-apa untuk melawan unsur-unsur ekstrem dalam Islam yang mula menyerap masuk – sebagai contoh, Abdullah telah menyokong amalan keras Sunni Islam dan telah mengendoz satu “dasar kesabaran sifar” terhadap apa sahaja yang menyimpang daripada ajaran itu. Mahathir mendakwa: “Sekarang, wujud persepsi betapa kerajaan yang ada ini lemah, dan dengan itu (penganut Islam konservatif} boleh mencabar kerajaan.”

Tohmahan mantan Perdana Menteri itu tentunya menyumbang kepada kesedaran wujudnya kelemahan dalam pentadbiran Abdullah. Akan tetapi Mahathir tidak mempunyai niat untuk berdiam diri. “Yang amat penting dalam pucuk kepimpinan negara ini ialah kesinambungannya dan bukan idealisme,” kata Chandra Muzaffar seorang penganalis politik veteran Malaysia. Sentimen itu bukan sahaja dikaitkan kepada insan yang sedang tercungap memimpin negaranya ke hadapan – tetapi juga kepada seorang bekas pemimpin yang sudah pun menjangkau 81 tahun tetapi masih liat melepaskan stering kepimpinan.

With reporting by Baradan Kuppusamy/ Kuala Lumpur and Parvaiz Bukhari/Alor Star
Disunting oleh Laman M@rhaen

Terjemahan: -marhaintua-


.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home