Sunday, October 29, 2006

Malaysia Sebagai Sebuah Negara Kepolisan?...

Malaysia Sebagai Sebuah Negara Kepolisan? Seriuskah Mahathir?
(Malaysia A Police State? Is Mahathir Serious?)
Oleh Farish A. Noor - 28.10.06 - Laman M@RHAEN


Ahli sains politik hendaklah memainkan peranan sebagai pemerhati politik, memantau norma-norma gelagat sejenis ciptaan yang pelik-pelik ini yang mempunyai ciri-ciri kesamaan dengan banyak spesis manusia, tetapi pada waktu yang sama mempunyai ciri dan keupayaan yang tersendiri di kalangan mereka. Ramai antara kita yang tersilap memikirkan bahawa orang politik adalah sama dengan manusia biasa. Hanya kerana mereka memandu kereta, menggaru hidung, dan menggunakan telefon bimbit seperti kita semua, tidak bererti bahawa mereka tergolong kepada spesis yang sama.

Orang politik mempunyai ciri kelakuan yang unik, dan antara mereka mempunyai keupayaan yang dianggap pelik mencipta dan mencipta semula diri mereka seolah-olah mereka adalah sesumpah. Satu lagi kelakuan yang mereka miliki ialah mempunyai ingatan berpilih-pilih yang memberikan mereka keupayaan untuk mengingati fakta yang hanya mereka senangi dan pada waktu yang sama melupakan apa juga yang tidak menyenangkan mereka. Sebagai seorang ahli sains politik, saya sudah meneliti spesis ini lebih daripada satu dekad dan kini sudah terjumpa beberapa contoh yang menonjol dan dianggap amat bernilai untuk pameran muzeum antropologi yang terbaik di dunia. Saya telah terjumpa dengan orang politik yang begitu cenderung terhadap agama; yang mampu berpakaian segak dan melalak “bahawasanya orang Taliban adalah saudara kita”; pada waktu yang sama saya juga telah berjumpa orang politik yang mampu bertukar-tukar daripada seorang bigot yang berfahaman ethno-nasionalis yang sempit fahaman perkaumannya pada sesuatu masa dan bertukar kepada seorang yang pro-Amerika yang bijaksana kemudiannya.

Beberapa komen terbaru bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Mahathir Mohamad, menunjukkan ciri-ciri yang dimiliki oleh ramai orang politik dalam banyak perkara. Semasa beliau mengadakan sebuah sidang akhbar sejurus selesai bertemu Perdana Menteri Abdullah Badawi, Mahathir telah menyerang dan mengutuk pemimpin yang pernah menjadi pilihannya. Pemerhati di Malaysia memang sudah lama merasakan betapa hubungan antara dua tokoh ini sudah semakin dingin. Sebagai permulaan, bekas PM itu merasakan bahawa banyak rungutan beliau (ada segelintir komen beliau itu memang kena pada tempatnya) terhadap gerak laku kerajaan yang tidak diendahkan oleh kerajaan. Pemerhati yang berkecuali akan mainan politik di Malaysia mungkin mudah setuju dengan penelitian ini, kerana bekas Perdana Menteri itu tidak diperuntukkan masa dan ruang untuk menyerlahkan perasaan beliau terhadap banyak perkara yang menjadi isu seperti pengurusan syarikat pembuat kereta nasional Proton dan projek pembinaan jambatan antara Malaysia dan Singapura yang telah dibatalkan.

Akan tetapi semasa sidang akhbar yang sama, Mahathir telah menyerlahkan rungutan demikian: “Saya anggap negara ini sudah menjadi negara kepolisan. Saya juga anggap telah dinafikan hak asasi saya.” Ketika itu juga Mahathir telah menambah bahawa “perangai mengerakkan polis untuk menakutkan orang harus dihentikan.” Lihatlah contoh ‘homo-politikus’ dengan suasananya.

Alangkah ironisnya bahawa Mahathir sanggup membelasah pentadbiran Badawi mengikut cara itu dan sedahsyat demikian. Selama ini pun Malaysia memang tidak mengamalkan demokrasi yang sekular, tetapi apabila Mahathir menuduh Malaysia adalah sebuah negara kepolisan, memang susah untuk dipercayai. Masyarakat hak asasi di Malaysia dan di luar negara akan merupakan golongan yang mula-mula sekali mengatakan bahawa semasa Mahathir mencengkam kuasa, hak asasi manusia di Malaysia ini telah diperkosa dengan amat dahsyat sekali. Mahathir telah mencengkam kuasa daripada 1981 hingga 2003, dan sepanjang tempoh itu Malaysia telah menyaksikan pelbagai operasi polis yang dilancarkan terhadap parti pembangkang di negara ini, masyarakat sivil dan NGO. Semasa Mahathir mencengkam kuasa, berlakunya pelbagai gerakan polis yang keras-keras seperti Operasi Lalang (1987), Operasi Kenari (1988) penekanan terhadap Al-Arqam (1993-1994); menyebabkan ratusan pemimpin parti pembangkang, wartawan, aktivis akademik, pemimpin kesatuan sekerja dan orang awam yang disumbat ke dalam kem tahanan, ramai yang disumbat tanpa pengadilan. Kini Mahathir mengeluh betapa dia telah dinafikan hak bersuara, dan beliau dinafikan hak sivil beliau.

Alangkah menghairankan apabila perkara yang sama tidak diingatinya semasa 1980-an dan 1990-an dahulu ketika ramai lagi rakyat Malaysia yang lain telah dihantar masuk kem tahanan ataupun ditahan tanpa perbicaraan dan dinafikan hak bercakap dan suara mereka didengar?

Semasa Mahathir memerintah, negara ini menyaksikan krisis kehakiman yang melumpuhkan sistem kehakiman negara, betapa akhbar telah dipengap, betapa membaranya persengketaan antara kerajaan beliau dan pembangkang Islamiah dan betapa beliau telah mencengkam kebebasan di universiti seluruh negara. Kalau adapun pembangunan yang mengagumkan sepanjang 1980-an dan 1990-an itu adalah kerana dua faktor – pelaburan terus asing dan budaya cengkaman politik di Malaysia.

Bagaimanakah bekas Perdana Menteri Malaysia itu boleh merungut tentang keadaan negara yang ditinggalkannya sedangkan beliau merupakan insan yang merajai situasi itu yang membuatkan hak asasi manusia dan kebebasan manusia terhakis? Sesungguhnya keupayaan untuk mencipta semula zaman silam dan melupakan peranan sendiri dalam proses politik itu yang membuatkan orang politik ternyata berbeza daripada kita semua, sebagai sejenis ciptaan yang sungguh berbeza.


Hari ini Malaysia akan terjerumus ke bibir krisis nasional. Kemelut yang menghantui Perdana Menteri dan bekas PM menunjukkan tidak akan ada peluang keadaan itu dapat diperbetulkan. Yang lebih dahsyat lagi ialah hakikat tidak adanya pertanda kepimpinan dan hala tuju yang mampu menyelamatkan negara ini daripada kemelut yang melanda. Setelah menghirup udara pemerintahan autokratik selama lebih dua dekad, masyarakat Malaysia tidak mempamerkan sebarang tanda-tanda yang mereka mampu menyesuaikan diri kepada sebuah masyarakat yang terbuka yang ditadbir oleh norma demokrasi. Munculnya satu kelas menengah yang semakin berpuak-puak, dan konservatif dalam keagamaan mereka, adalah hanya salah satu petunjuk berapa banyaknya yang pincang dalam negara. Akan tetapi kalau rakyat Malaysia hari ini tidak tahu bagaimana caranya hidup dalam sebuah masyarakat berdemokrasi dan mengikut cara yang demokratik, kita terpaksa melihat kepada apa yang baru berlalu untuk memahami kenapa sebabnya. Jawapannya terletak kepada budaya neo-feudal milik kuasa pusat yang telah diperibadikan oleh Mahathir sendiri. Sesungguhnya beliaulah meletakkan batu asas ‘negara kepolisan’ yang membuatkan dia sendiri mengeluh pada hari ini.


Dr Farish A Noor is a Malaysian political scientist and human rights activist. Visit his site at www.othermalaysia.org


Terjemahan - marhaintua -

0 Comments:

Post a Comment

<< Home