Friday, November 10, 2006

Kepimpinan Abdullah Yang Semakin Mereput

Kepimpinan Abdullah Yang Semakin Mereput
(Malignant Neglect of Abdullah’s Leadership)
Oleh M.Bakri Musa www.bakrimusa.com - 10.11.2006.
Terjemahan -marhaintua-

--------------------------------------------------------------------------------

Keresahan yang sedang berlegar dalam politik Malaysia masa kini adalah berkisar pada dua isu. Satu, ialah ketidak-cekapan kepimpinan Abdullah Badawi yang terlalu nyata dan keadaan pentadbirannya yang semakin mereput. Yang lagi satu ialah keraguan bahawa penggantinya nanti akan merupakan seseorang yang lebih teruk lagi.

Kedua-dua kesangsian ini menggambarkan keadaan pucuk kepimpinan politik negara yang mereput. Namun, kita tidak seharusnya menjadi satu alasan untuk kita menerima status quo itu. Memang, perubahan mencetuskan risikonya. Orang Iran beranggapan bahawa mereka berbuat sesuatu yang baik ketika menghumban Shah Pahlawi, tetapi perhatikan sahaja apa yang jadinya kini.

Apa yang saya cuba ketengahkan bukan sahaja perubahan, tetapi perubahan untuk kebaikan. Ini boleh berlaku dengan mudah ataupun spontan, dan kita perlu bekerja kuat untuk mencapainya.

Saya tidak mahu berlagak memandai-mandai menyebut siapa yang terbaik untuk memimpin Malaysia. Saya yakin Allah lebih mengetahui setelah mengurniakan kumpulan yang memang berbakat di kalangan kita. Secara rambang saya dapat sebutkan segelintir nama calon yang sesuai, mereka yang berada di tan hair tentu mempunyai satu senarai yang lebih panjang.

Kalau kita buka proses itu besar kemungkinan akan muncul calon yang lebih baik, tentunya meningkat kebarangkalian untuk memilih pemimpin yang sesuai. Menghadkannya dengan mengenakan syarat agar pencalonan di buat oleh lebih 50 bahagian sudah pasti menjerut pilihan kita. Kita mesti menebar jala secara luas dan dalam.

Kalaulah calon-calon pemimpin itu menonjolkan diri dan idea mereka ini akan memudahkan kita membuat keputusan secara berkumpulan. Saya yakin dengan ajaran Allah mengikut al Quran betapa kita harus percaya kepada kebijaksanaan mushawarah. Tetapi pertama sekali orang ramai memang sebulat-suara dan keputusannya dicapai tanpa rasuah ataupun paksaan. Jika tidak, kita akan berdepan dengan hukum rimba yang bertopengkan demokrasi.

Sebaik sahaja kita sudah memilih pemimpin, kita mesti terus julang mereka ke satu tahap yang tinggi standardnya dan itu harus menjadi matlamat mereka. Kalau kita naikkan pemimpin kita dan layan mereka laksana sultan, itulah yang membuatkan mereka khayal dengan anggapan demikian. Kemudian mereka akan beranggapan tidak lagi perlu bertanggungjawab kepada sesiapa. Inilah yang berbahaya! Pemimpin Penyamun bukannya dicipta sekelip mata, selalunya mereka menjadi begitu kerana para penyokong yang membuatkan mereka begitu.

Sumbangan Mahathir Yang Paling Utama

Alangkah ironis bahawa Mahathir melakukan salah satu sumbangan yang besar hanya selepas dia bersara. Tanpa mengambil kira apakah impak kritikan beliau terhadap pucuk kepimpinan yang ada sekarang, dia sudah pun menghancurkan budaya pantang-larang (tabu) yang sudah lama berakar umbi melibatkan pengkritikan pemimpin kita. Gara-gara enggan bersenang-lenang di sebalik pencen yang menjamin keselesaan hidupnya, disertai pula kesediaan menjalani risiko martabatnya yang tercalar, serta perangainya yang mudah mengetepikan kehendak protokol yang tidak bermakna, Mahathir mengejutkan masyarakat UMNO yang selama ini seolah-olah ‘kenyang’, dengan mengkritik Abdullah.

Memanglah Mahathir hanya merupakan satu faktor sahaja. Sifat Abdullah yang lembik mengundang serangan kutukan. dan umpatan. Malahan, Mahathir merupakan pendatang yang lewat sampai menyertai majlis semacam itu.

Kemudian wujud pula Internet dan media alternatif yang memberikan paparan kepada pendapat yang membantah itu. Malangnya Abdullah mengeruhkan keadaan dengan melantik orang-orang yang tidak berguna seperti Kalimullah Hassan dan Brendan Pereira untuk mengendalikan ‘The New Straits Times’. Sudah tentu media alternative tidak berjaya mewujudkan pengikut yang ramai dan mendapat penghormatan mereka dengan pantas kalaulah media arus perdana berjaya mewujudkan satu taraf kematangan yang dihormati.

Rangkuman pelbagai faktor, berintikan matlamat yang sempurna membantu menghancurkan sifat kesetiaan ala hang Tuah yang selama ini diberikan kepada pemimpin kita. Saya berharap legasi yang khusus ini akan berkekalan. Abdullah mendakwa bahawa suasana yang memuatkan ramai orang bersuara mengkritiknya adalah merupakan ketelusan pentadbirannya. Alangkah terpesongnya hakikat yang sebenar. Kalau mengikut kehendak dirinya, dia mahu menekan setiap mulut orang yang mencercanya.

Eloklah kita pastikan agar pemimpin yang akan matang tidak akan mendapat laluan yang mudah. Sesiapa sahaja nanti perlu dikenakan penelitian daripada tahap awal lagi. Ini adalah satu kaedah yang sihat yang menentukan dia akan tetapi berada di landasan yang betul. Itulah harapan saya yang ikhlas.

Pada mulanya, Abdullah memang ikhlas, jujur dan bertenaga. Rakyat Malaysia yang sudah keletihan oleh kelajuan yang dilakar oleh ketua lamanya, ternyata merasa seronok melihatkan perubahan dengan ritma (rhythm) kehidupan mereka. Malangnya, puji-puja yang tidak ada batasannya yang dihimpun oleh para penyokong yang ikhlas, serta mandat pilihan raya yang begitu besar diberikan padanya selepas itu, telah membengkakkan kepalanya..

Ekoran pilihan raya umum itu, yang sepatutnya menyuntik satu semangat baru kepada Abdullah. Sebaliknya dia mengambil sikap sambil lewa dan acuh-tak-acuh sahaja. Abdullah berlagak laksana seorang pelajar sekolah menengah yang baru berjaya dengan peperiksaan matrikulasinya, kini mengambil sikap selamba semasa di universiti, dan menjadi terkejut dengan keputusan pelajarannya. Sepatutnya Abdullah telah menggandakan usaha kerjanya dan mensasarkan satu standard piawaian yang lebih tinggi selepas pilihan raya umum itu.

Sayang, kemenangan besar politik dalam pilihan raya umum itu yang baru sangat dicapainya, kini sudah berubah menjadi satu penggelongsoran yang tidak ada hentinya sejak itu.

Cabaran Mencungkil Bakat

Ada satu cabaran tambahan di Malaysia di mana politik hari ini tidak lagi menarik minat golongan yang berbakat. Pada zaman dahulu, nasionalisme merupakan perjuangan mendapatkan kemerdekaan menjadi sumber inspirasi kepada golongan muda menceburi politik. Pada hari ini, anak-anak muda Malaysia yang bijaksana mempunyai matlamat untuk bersinar di pentas dunia. . Bakat mereka memang diperlukan di peringkat global. Malaysia terpaksa memikat mereka. Secara agresif. Pujukan beremosi berbaur patriotisme tidak lagi berjaya kerana dikerdilkan cabaran dan peluangnya.

Di negara sendiri pun, terdapat banyak peluang lain yang lebih menarik, seperti melancarkan perniagaan sendiri ataupun berkhidmat dengan syarikat multinasional. Semacam satu kemestian pula, dan khususnya dari sudut politik, perkhidmatan awam semakin kerap menjadi tempat terakhir bagi golongan yang kurang berbakat. Tidak menghairankan kalau para pemimpin kita begitu lembab untuk menyedari hakikat yang menyerlah ini.

Menyongsangkan (menterbalikkan) trenda ini walaupun sukar, tetapi boleh dilakukan. Dengan menggandakan gaji para menteri sudah tentu dapat membantu usaha ini. Itupun belum mencukupi lagi dan masih perlu menarik mereka yang berbakat. Jika tidak hanya kumpulan yang sedia ada akan meraih keuntungannya.

Kalaulah kita kurangkan sebanyak separuh kabinet yang mengembung sekarang ini, menteri yang ada berbaki akan berupaya mendapat gaji dua kali ganda tanpa menambahkan bebanan kerajaan. Penjimatan juga akan berlaku disebabkan semakin berkurang Ketua Setiausaha dan pegawai tinggi kerajaan yang lain.

Satu cara berkesan untuk mendapatkan bakat baru dan segar ialah mendapatkan calon di peringkat atas ataupun ‘calon helikopter’ seperti istilah tempatan yang sering digunakan. Tun Razak pernah menggunakan strategi ini dengan berkesan. Kerana dia memilih hanya individu yang menyerlah dengan kejayaan yang betul terbukti dan diperakui. Sesiapa yang tidak memiliki kelulusan gemilang begini akan hanya mendapat ejeken dan sindiran daripada orang sekelilingnya.

Menyandarkan harapan keatas anggota parti untuk naik daripada bawah mengikut sistem yang ada sekarang ini akan mengekalkan sistem korupsi. Bukannya yang betul-betul berbakat yang akan naik ke atas, hanya yang kotor dan bekeladak akan naik gara-gara dapat membolosi sistem tapisan dalam mesin basuh parti itu.

Mencari Goldwater UMNO

Malaysia tidak dapat terus merelakan cara kepimpinan Abdullah yang semakin mereput. Apa yang amat diperlukan oleh UMNO (dan juga negara) ialah seorang Negarawan matang (ataupun satu kumpulan individu semacam itu) melakukan tugas seperti yang pernah dilakukan oleh Senator Barry Goldwater kepada Nixon ketika meledaknya krisis Watergate. Barry Goldwater telah bertindak sendirian untuk meyakinkan Presiden Nixon supaya berundur secara sukarela untuk mengelakkan dirinya teraib dan negara (Amerika Syarikat) menanggung banyak bencana.

Krisis di Malaysia hari ini adalah lebih dahsyat dari itu, bencana yang telah berlaku sengaja disorokkan dan adalah lebih besar petakanya. Sayang, saya tidak nampak adanya individu di Malaysia yang persis ketokohan Goldwater dalam UMNO. Tengku Razaleigh merupakan salah seorang yang berani untuk membawa mesej itu kepada Abdullah. Namun, oleh kerana Tengku pernah mencabar Abdullah sebelum ini, peranan semacam itu nampaknya tidak sesuai untuk Ku Li lakukan. Namun dia masih boleh menjalankan peranan itu kalau dia membuat ikrar sebelum itu bahawa dia tidak berniat mahu menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Seorang tokoh lain yang sesuai ialah Musa Hitam, tetapi dia tentu masih lagi berseronok dengan gelaran Tun dan tentunya tidak anggap menjadi utusan berita buruk kepada orang yang telah berusaha mencadangkan anugerah gelaran itu padanya.

Ini bererti terpulanglah kepada anggota biasa UMNO sendiri untuk menyerahkan mesej ini. Kalau diambil kira akan budaya UMNO tugas marhaen semacam ini bukan satu perkara mudah. Sementara itu kereputan akan berterusan untuk turut menghambat negara. Inilah tragedi yang sebenar, bukannya nasib buruk mana-mana individu ataupun pemimpin yang ada.


Terjemahan -marhaintua-

0 Comments:

Post a Comment

<< Home