Saturday, December 09, 2006

Bas Ekspress KL - Ipoh Menipu Lagi !

Malam semalam (8 Disember, 2006) salah seorang anak angkat saya mengambil keputusan pergi ke Ipoh atas urusan ‘mustahak’. Dia telah berada di Puduraya untuk membeli tiket dan diberitahu bahawa semua tempat duduk bas sudah habis ditempah.

Tetapi, “kalau mahu naik bas tambahan, tiket masih ada dan bas bernombor .........sudah sedia menunggu untuk berlepas jam sembilan malam”, demikian kata “petugas” yang mendorongkan para penumpang ke kaunter jualan tiket bas Star Strip Quest Ekspress.

Ramai penumpang yang membeli tiket dengan harapan dapat naik bas “dengan segera”. Janji itu ternyata hambar kerana sampai jam 9.30 masih kedengaran laungan pengumuman bahawa bas “yang sedia bertolak” berada di platform.

Bayangkan janji itu dengan kenyataannya. Bas hanya bertolak jam 11.15 malam. Bas yang muncul ialah sebuah “BAS SEKOLAH” yang saya agak didatangkan khas daripada Ipoh. Harga tambang ialah RM20.00 sedangkan harga tambang biasa ialah RM 13.00.




Kalau kita tengok “ulat” menyibuk menjual tiket bas tambahan, rupa tiket adalah pelbagai warna dan segala maklumat ditulis tangan.

Rupa-rupanya beginilah yang berlaku setiap malam. Jadual penjualan tiket dikatakan”laris” walaupun bas yang berlepas itu masih mempunyai tempat duduk yang kosong. Tetapi kaunter sudah tutup dan penjual tiket akan berkata “tiket sudah habis”. Kemudian akan muncul penjual tiket bas tambahan dengan harga tiket yang naik lebih lima puluh persen daripada harga biasa.
Bagaimanakah perkara ini boleh berlaku kalau JPJ dan pihak yang berkuasa memantau kegiatan operasi bas ekspress?

Apakah benar seperti yang disebut-sebut oleh pemerhati bebas di Puduraya bahawa skandal penjualan tiket mendapat restu beberapa pihak tertentu yang sama-sama meraih keuntungan besar setiap hari?

Bayangkan nasib rakyat marhaen yang amat memerlukan perkhidmatan bas yang licin dan telus tanpa membebankan hidup mereka yang semakin teraniaya?

Soalnya sekarang, bagaimanakah penjualan tiket dibuat oleh syarikat Ekspress ini tanpa ada cop dan nama syarikat? Apakah syarikat ini menjalankan kegiatan lari daripada mengisytiharkan cukai pendapatannya?

0 Comments:

Post a Comment

<< Home