Saturday, December 23, 2006

Paklah: Risaukanlah Periuk Nasi Rakyat, Pula.

TAG 2270: Paklah, Risaukanlah Periuk Nasi Rakyat, Pula
(Pak Lah, Worry About the Rakyats’ Rice Bowl Instead)
Oleh: M. Bakri Musa ditulis bersama Din Merican - MalaysiaKini dan -Laman M@RHAEN

Terjemahan -marhaintua-

Awal kata: Ini bukan masanya untuk kita bermuka-muka dengan individu sahaja. Inilah masa untuk berbaik sangka dengan semua rakyat Malaysia dan risaukan perihal periuk nasi mereka.

Sempena melangkah masuk gerbang tahun keempat sebagai Perdana Menteri, Abdullah Badawi masih belum faham lagi. Dia terlalu prihatinkan periuk nasi anak menantunya dan bukan perihal periuk nasi rakyat jelata. Oleh kerana dia tidak boleh bercakap angkuh perihal kejayaan ekonomi negara di bawah kepimpinannya, Abdullah hanya mampu membesar-besarkan kisah kekayaan anaknya. Apakah hebatnya kalau anak (dan juga menantunya) yang kaya-raya kalau seluruh negara menjadi papa kedana?


Sudah sampai masanya untuk seseorang memberitahu Abdullah bahawa dia dipilih untuk memimpin Malaysia bukan untuk menjaga kepentingan anggota keluarga dan para kroninya. Para penasihat dan anggota keluarga telah meyakinkan beliau bahawa sesiapa yang mengkritiknya mempunyai niat mahu menjatuhkannya. Seandainya Abdullah terus berdegil dengan gaya hidup ini, percayalah bahawa kepercayaannya begini akan termakbul juga.

Sepatutnya Abdullah memikirkan nasib seorang lagi pemimpin negara yang menghabiskan masa menjaga periuk nasi anggota keluarganya. Kejatuhan Suharto gara-gara nafsu serakah itu memang buruk untuk diri dan ahli keluarganya, malahan juga kepada Indonesia.

Abdullah berselindung di sebalik tuduhannya bahawa para pengkritik suka menabur fitnah dan ini adalah satu tuduhan keras dari sudut agama. Namun, ini juga merupakan satu gambaran betapa seorang ahli politik yang tidak berwibawa mencari perlindungan di sebalik agamanya.

Kerana telalu malas, Abdullah memang suka memerap dirinya dan sekali gus berselindung daripada kenyataan yang penuh pancaroba. Itulah sebabnya beberapa bulan dahulu dia sanggup berkata bahawa dia hanya baru memanaskan badan. Kini dia mengumumkan puas hati dengan prestasinya. Nampak sangat dia mudah merasa lega sambil mendedahkan itulah satu keselesaan daripada jangkaan yang amat rendah tahapnya.


Sikap Orang Ramai Yang Suka Membisu


Abdullah ternyata tidak sensitif kepada penderitaan golongan miskin gara-gara menarik-balik subsidi minyak. Tuntutan pegawai kerajaan agar diberikan kenaikan gaji 40 peratus menunjukkan betapa naiknya kos sara hidup dan menurunnya taraf hidup.

Janjinya dulu tentang tender terbuka dan saingan pembidaan sudah dilupakan kini projek mega seperti jambatan kedua Pulau Pinang dan istana baru telah diberikan tanpa banyak perbincangan ataupun proses tender yang formal. Abdullah masih lagi belum menafikan bahawa pengagihan RM600 juta kepada ketua UMNO bahagian semasa Perhimpunan Agung Tahunan dahulu, adalah satu gelagat dan sifat buruk politik wang yang sungguh mahal harganya. Enam bulan selepas beliau membatalkan projek jambatan bengkok di Johor, masih belum ada lagi penyata akaun yang penuh akan kos menyeluruh termasuk pembayaran denda yang sungguh tinggi. Abdullah membazirkan beratus juta ringgit mengongkosi projek Monsoon Cup untuk satu temasya lumba kapal layar yang tidak pun menarik minat rakyat jelata di Malaysia.

Perangai para penasihat beliau di Tingkat Empat, Jabatan Perdana Menteri, yang mementingkan diri sendiri memang boleh difahami. Ketahanan mereka di jawatan itu amat beragantung kepada keupayan mereka menghiburkan si orang tua. Antara ahli keluarganya pula memang wujud budaya kesetiaan mengikut tradisi Asia di mana si ayah tetap betul, si anak lelaki (dan juga anak menantu) tetap laksana putera diraja. Inilah yang tidak akan merobah minda orang Melayu, tidak kiralah kalau berkelulusan Oxbridge ataupun tidak.

Yang lain-lain itu memaparkan saki-baki budaya Melayu feudal: di mana apa yang sultan kata adalah kata keramat, kalau dicabar mengundang musibah. Kesusasteraan Melayu Klasik memang penuh diwarnai dengan wirawan yang dianggap menderhaka dan (kerana itu menanggung padahnya) kerana keberanian membetulkan cara hidup sultan yang songsang. Hang Tuah merupakan satu-satunya pahlawan yang paling tersohor. Apa sahaja yang dikehendaki oleh sultan, pasti disempurnakan. Lantas, Abdullah kini berlagak laksana sultan jadi-jadian. Tentunya tanpa watikahnya ataupun gema diraja.


Seorang Pemimpin Sahaja Tidak Akan Menghancurkan Sebuah Negara (It Takes More Than A Leader To Destroy A Nation)


Kesan legasi peninggalan penjajah British, negara kita dicengkam oleh undang-undang dan pelbagai institusi. Undang-undang dan segala institusi itu telah diwujudkan berasaskan wujudnya pemimpin yang terhormat dan individu yang berwibawa untuk berkhidmat dengannya. Akan tetapi kalau wujud pemimpin yang korup dan tidak berguna, undang-undang yang baik-baik pun akan diketepikan dan institusi yang mulia pun boleh dirobohkan.

Abdullah tidak boleh menghancurkan Malaysia berseorangan diri, sikap dia yang berdolak-dalik adalah penentuannya. Namun, kerana dia lembik dan kerap serba tidak tahu akan tugasnya membolehkan orang lain menghancurkan negara kita. Kalau perkara ini berlaku, kesalahan mesti ditanggung oleh para penasihatnya, jemaah menteri, ahli politik yang bepengalaman, cerdik pandai dan pegawai perkhidmatan kerajaan. Mereka inilah yang merelakan terjadinya fenomena itu.

Memang terdapat segelintir orang yang berwibawa dalam kabinet Abdullah, tetapi mereka telah sengaja berdiam diri. Mereka itu sengaja mementingkan periuk nasi sendiri tanpa memikirkan masa depan negara, ataupun mereka memang merelakan kelentungan dan ketidakcekapan Abdullah. Ataupun kedua-duanya sekali. Kita masih ternanti-nanti kemunculan rakyat negara ini yang berwatak laksana Robin Cook ataupun Paul O’Neil dalam kabinet Abdullah. Inilah orangnya yang sanggup melepaskan jawatan dalam kabinet untuk menunjukkan ketegasan pendirian mereka terhadap pemimpin yang sudah menyongsang. Baru-baru ini satu kumpulan warga Amerika yang sudah bersara dan mempunyai pendirian tidak menyebelahi sesiapa telah memberitahu Presiden secara terbuka dan tegas betapa dasar beliau di Iraq memang amat pincang.

Sebagai Presiden UMNO, Abdullah memang bertanggungjawab kepada anggota partinya. Apabila dilihat gelagat mereka pada Persidangan Agung UMNO yang terbaru ini, usahlah diharapkan mereka mampu melaksanakan peranan imbang dan periksa. Kalau para menteri dan ahli-ahli UMNO tidak mampu melaksanakan peranan demikian yang amat diperlukan, tentu ada anggota Majlis Tertinggi UMNO yang patut melaksanakannya. Kebanyakan anggota Majlis Tertinggi itu, kecuali segelintir pilihan Abdullah yang pasti taat dan setia kepadanya sahaja, adalah dipilih oleh anggota parti. Sudah tentu kita mengharapkan mereka akan bersikap bebas. Sebaliknya, mereka juga ternyata diam membisu.

Kalau kita lihat senarai warga Malaysia yang ternama dan kini sudah pun bersara, tentu kita kagum dengan pencapaian dan sumbangan mereka dalam dunia akademik, professional dan perkhidmatan awam. Mereka juga turut diam membisu. Seandainya mereka setuju dengan arah tuju negara, mereka sepatutnya bersuara memberikan sokongan sebagai satu galakan kepada pucuk kepimpinan untuk meneruskan kecemerlangan mereka. Seandainya mereka tidak setuju, adalah menjadi tanggungjawab untuk menyuarakan keprihatinan mereka. Takkanlah keseluruhan Negara ini sudah secara tiba-tiba dicengkam kedunguan yang menghasilkan harapan yang rendah. Kita tidak boleh mendapat penjelasan lain kenapa wujudnya sifat diam membisu yang memusykilkan ini.

Ada satu peribahasa Afrika yang berbunyi: ia memerlukan sebuah kampung untuk membesarkan seorang kanak-kanak. Jika demikian, tentu kita memerlukan lebih seorang pemimpin untuk menghancurkan sesebuah negara. Tidak mungkin Saddam mampu menghancurkan Iraq tanpa bantuan para penglaksana di sekelilingnya. Mereka juga harus dipersalahkan.

Kesedaran akan muncul juga apabila rakyat Malaysia menyedari sebuah jurang yang dalam, dan ketika itu kita akan menyalahkan Abdullah. Waktu itu nanti kita mesti menyumpah seranah mereka yang turut bersekongkolan: para menterinya, para cerdik pandai dan golongan intelek yang kini memuji-muja Abdullah. Sepatutnya mereka bermenung dahulu dan menyemak kembali kecenderungan mereka, untuk menyuntik keberanian menyedarkan Abdullah hakikat sebenar sebelum para pengundi membuat penentuan dalam pilihan raya umum yang akan datang.

Abdullah pernah mengaku sendiri betapa dia tidak pandai mengurus masa dan itu tidak boleh diterima sebagai satu alasan darinya. Perangai Abdullah yang amat mudah hilang tumpuan dan .kerap terlelap dan berdengkur seharusnya tidak boleh dibiarkan. Kalau tugas itu merupakan satu bebanan kepadanya, adalah menjadi tanggungjawab para penasihat, menteri dan pemimpin kanan UMNO, kepada negara untuk menasihati Abdullah agar bersara dan membiarkan orang lain yang lebih berupaya untuk mengambil alih tugasnya.

Ini bukan masanya untuk bermuka-muka kepada mana-mana individu; Ini adalah masanya untuk berbuat baik dan berjasa kepada semua rakyat Malaysia dan memikirkan masa depan periuk nasi mereka. Untuk terus berdaya saing, rakyat Malaysia, para pemimpin dan pengikutnya mesti bekerja keras dan bertindak bijak. Malaysia tidak perlu mahupun merelakan seorang pemimpin yang kuat berdengkur.


- 23.12.2006. (suntingan M@RHAEN)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home