Saturday, January 06, 2007

Dr. Mahathir Mohon batalkan saman Anwar

06/01:
Dr Mahathir mohon batalkan saman Anwar
- BERNAMA (Dipetik: Malaysia Today)

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menghadapi saman malu oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana menuduh bekas timbalannya itu sebagai seorang homoseksual, mengemukakan permohonan hari ini untuk membatalkan saman itu dengan alasan ia bersifat skandal, menyusahkan dan tidak bersungguh.Permohonan itu difail di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di Wisma Denmark di sini menerusi syarikat guaman, Messrs V. K. Lingam & Co.

Dalam permohonan itu, Dr Mahathir, 81, berkata saman Anwar terhadap beliau harus ditolak kerana ia tidak menyatakan sebarang sebab munasabah untuk bertindak terhadap beliau selaras dengan Perintah 18 Peraturan 19 (1)(a) dan/atau Perintah 92 Peraturan 4, Peraturan-peraturan Mahkamah Tinggi 1980.
Dr Mahathir turut mengemukakan afidavit bagi menyokong permohonannya itu.Menurut afidavit itu, pensabitan Anwar terhadap kesalahan meliwat Azizan Abu Bakar, yang walaupun dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan kerana pihak pendakwaan gagal membuktikan tarikh kejadian berlaku dalam pertuduhan dan kerana perkara lain yang bukannya substantif, Mahkamah Persekutuan membuat keputusan bahawa terdapat keterangan bagi mengesahkan bahawa Anwar dan Sukma Darmawan Saasmitaat Madja terlibat bersama dalam aktiviti homoseksual.
Dr Mahathir berkata saman malu Anwar terhadap beliau juga merupakan penyalahgunaan proses kerana ia satu cubaan Anwar untuk mengulangi tindakan mahkamah dalam isu yang sama seperti yang terdapat dalam dakwaan berhubung saman malu oleh Anwar terhadap beliau di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 1999.Saman itu ditolak oleh hakim Datuk R. K. Nathan pada 30 Ogos 1999, dan keputusan itu dipersetujui oleh Mahkamah Rayuan pada 9 Dis 2000. Permohonan Anwar untuk merayu ditolak oleh Mahkamah Persekutuan pada 23 Feb 2001.Pada 27 Jan 2006, Anwar memfailkan saman itu menerusi syarikat guaman Messrs S. N. Nair & Partners dengan mendakwa kenyataan Dr Mahathir bersifat fitnah.
Dalam kenyataan tuntutannya, Anwar berkata Dr Mahathir sedar kenyataannya itu bertujuan menghina beliau secara peribadi dan sebagai bekas menteri dan bekas timbalan perdana menteri, yang akan disiarkan oleh media tempatan dan asing.
Selain menuntut ganti rugi am dan ganti rugi teladan, Anwar juga memohon perintah menghalang Dr Mahathir atau ejennya daripada terus mengeluarkan kenyataan sedemikian.
Saman itu dijadual dibawa bagi pengurusan kes di Mahkamah Tinggi pada 9 Jan.

Dalam kenyataan pembelaannya, Dr Mahathir berkata beliau membuat kenyataan sedemikian berdasarkan keistimewaan sebagai seorang perdana menteri.

Katanya kenyataan itu dibuat demi kepentingan awam dan selaras dengan tugas moralnya untuk memberitahu rakyat mengenai salah laku Anwar. - BERNAMA

0 Comments:

Post a Comment

<< Home