Sunday, January 21, 2007

Perdana Menteri Yanag Berserabut Fikirannya

  • 19/01:

    Perdana Menteri Yang Berserabut Fikirannya
    (Our mentally-challenged Prime Minister)
    THE STRAIGHT TIMES - Ibnu Hakeem

    Terjemahan – marhaintua-

    {Awalkata Penterjemah: Kalau diterjemah Bahasa Inggeris ‘mentally deranged’ secara kasarnya ia bermaksud ‘OTAK MERENG. Takkan kita mahu beri gelaran demikian kepada Perdana Menteri kita?}


    Minggu ini memang sungguh menarik. Lapuran menyebut ketika air bah membanjiri Johor pada pusingan pertama, Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi, telah melanjutkan percutian ke Australia untuk merasmikan pembukaan restoran “Nasi Kandar” milik adiknya.

    Pada hari Rabu, 17hb Januari, 2007, Perdana Menteri telah mengadakan pesta makan durian di rumah kediamannya di Sri Perdana. Ada gambar rakaman NST menunjukkan beliau membelah durian. Mereka tidak pula menunjukkan gambar durian mercik ke mukanya.

    Dalam lawatan singkat beliau ke kawasan banjir di Johor, Badawi berkata Kerajaan akan memeberikan suntikan ‘percuma’ menentang penyakit. Sepatutnya ada sesiapa yang memberitahu Badawi bahawa khidmat perubatan kerajaan di Hospital Besar memang sentiasa percuma ataupun hampir tidak dikenakan sebarang bayaran dan tidak ada kerajaan di mana-mana juga di dunia ini yang akan mengenakan bayaran keatas rakyatnya yang menjadi mangsa banjir. Semuanya diberikan percuma.

    Selepas selesainya Monsoon Cup di Terengganu, Badawi fikir adalah wajar untuk membazirkan lagi RM300 juta dengan mengatakan bahawa 1.4 bilion manusia di merata dunia telah menyaksikan perlumbaaan kapal layar secara lintas langsung di TV. Berita ini adalah semacam berita sensasi yang kerap kita dengar daripada Mufti Perak. Hakikatnya perlawanan bolasepak Piala Dunia yang ditontonkan di TV tidak pun mendapat liptuan penonton seramai itu. .

    Buku kamus memberikan definasi seseorang yang ‘bodoh’ sebagai seseorang yang sukar mengerti ataupun sukar mempelajari sesuatu. Seorang ‘moron’ adalah seorang yang ‘terlampau bodoh’ . Tentulah kurang beradab kalau kita katakan bahawa Abdullah Badawi, Perdana Menteri sebagai seorang moron yang bodoh. Akan tetapi ia mungkin lebih sesuai untuk kita katakan dia memang terlalu ‘kureng’ dalam bidang ilmu pengetahuan ataupun kurangan bijaksana. Kalau mahu menggunakan bahasa politik yang sesuai adalah wajar kita katakan bahawa Perdana Menteri kita sedang dihantui ‘fikiran berserabut’. ..Soalan yang sedang meraung mahukan jawapan ialah berapa lama lagi rakyat Malaysia mesti digugat oleh ketidakcekapan beliau?...

    Pada 17 Januari, NST telah melaporkan betapa Abdullah telah mencabar menteri-menterinya ‘menunaikan janji” mereka. NST telah berbangga mengumumkan cabaran Abdullah kepada Menteri Pendidikan Hishamuddin Hussein “agar menunaikan janji anda untuk mempertingkatkan sistem pendidikan negara” dan mencabar pula Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Mohamed dengan berkata: “Hisham telah berjanji akan menghasilkan pelajar cemerlang memasuki universiti anda. Bolehkah anda hasilkan graduan yagn terbaik?”…

    Akan tetapi Perdana Menteri........, mereka ini adalah menteri anda. Inilah Kabinet anda. Anda yang melantik mereka semua. Anda yang membelahkan Kementerian Pelajaran menjadi dua. Apakah lagi untuk dicabar: Beri sahaja arahan agar mereka menjalankan tugas. Jika tidak, nyahkan mereka. Lebih baik lagi kenapa anda sendiri yang tidak bersara dan pergi jauh?...

    Dalam satu artikel yang disiarkan di Internet bertajuk: “Ailing Nation with a flip flop Prime Minister” (Negara sakit dengan Perdana Menteri yang berdolak-dalik), kata sejarah terkenal Datuk Professor Khoo Kay Kim berkata bahawa betapa “kurangnya wawasan nasional ataupun halatuju” dan bahawasanya “ramai rakyat Malaysia sudah kehilangan panduan ke mana arah tuju negara.”… Artikel Prof. Khoo memperakukan bahawasanya Badawi memang ternyata ‘kekurangan bijaksana.’ Perkara ini sekali lagi telah diperakukan oleh tajuk berita NST yang merumuskan kajian terbaru dalam satu seminar mengenai tiga tahun pertama pemerintahan Badawi dengan menggunakan perkataan ‘bloopers’ (laksana cerdik si Pak Pandir) Inilah sahaja yang dapat dirumuskan oleh NST tentang tiga tahun pertama pentadbiran Badawi. ..

    Pada minggu ini, Anwar Ibrahim turut sama melalak di medan perang. Dia telah mendedahkan bagaimana Perdana Menteri Turki memberitahu beliau bahawasanya memang Abdullah pernah berada di Bodrum Turki untuk menerima satu bot kapal layar sebagai hadiah daripada Ananda Krishnan. Akhbar Turki Hurriyet enggan menarik balik cerita mereka menyatakan Abdullah sesungguhnya berada di Bodrum untuk melihat bot tersebut. Jika begitu kisah ini bererti Badawi sudah berbohong mengenai kapal layar tersebut…

    Anwar telah turut membuat satu kenyataan akhbar bahawa TPM kita, Najib Tun Razak, telah terlibat dalam pembunuhan yang melibatkan seorang wanita Mongolia, Altantuya Shariibuu. Beberapa dakwaan Anwar telah turut diulang oleh Ketua Pembangkang Lim Kit Siang dalam kenyataan akhbar beliau. ..

    Datuk Najib semakin menjadi isu basi. Dari seorang yang pintar berpidato, yang ternyata berkelipan dengan segala gemerlapan alter-ego yang mengkelamkan Abdullah Badawi yang ‘kureng’ tadi, Najib kita mendapati dirinya tersadai laksana sebilah pendayung sampan yang hanyut tidak keruan di tengah-tengah sungai Mongolia mengahala satu air lata dengan isterinya berpaut pada tengkuknya laksana bebanan batu yang sungguh berat. Tidak ada lagi ‘Maid of the Mist “ untuk menyelamatkan Najib.

    Selain kegawatan yang dicetuskan oleh Anwar dan Lim Kit Siang, serta satu analisis tajam mengenai pembunuhan Altantuya oleh Penulis Kim Quek, sikap Najib diam membisu suara semakin membingitkan. Dakwaan terhadap kematian altantuya semakin menjadi isu yang serius. Terdapat jurang pemisah yang amat nyata dalam cara kes itu dikendalikan di mana Peguam Negara turut sama diam membisu.

    Kenapakah jabatan Peguam Negara beria-ia mengistiharkan dengan pantas, ‘tidak ada orang lain terbabit ?” Ini adalah satu perkara ganjil dalam mahkamah undang-undang. Apakah kemungkinan ‘mens ria’ ataupun motif dua orang anggota UTK membunuh Altantuya? Apakah dendam kesumat pegawai UTK terhadap Altantuya sedang marak belum pernah bertemu sebelum kematiannya dulu ?

    Semua orang sedia maklum bahawa pegawai UTK adalah begitu terlatih dan cekap dalam menjalankan tugas - malahan melakukan kegiatan yang melanggar undang-undang - mengikut arahan seseorang yang berpangkat tinggi di atas. Masyarakat umum masih dapat mengimbau bagaimana Anwar pernah memberi arahan kepada Special Branch (Polis Khas) untuk menangkap secara tidak sah dan menyiksa Umi Hafilda dan Azizan Abu Bakar – satu jenayah yang menyebabkan Anwar terpenjara selama enam tahun. .

    Jadi siapa yang memberi arahan maut kepada pegawai UTK untuk membunuh Altantuya Shaariibuu? Kalau AG (Peguam Negara) berkata tidak ada orang lain memberikan arahan itu dan dua orang pegawai UTK telah bertindak secara sendiri, ini hanya memperakukan bahawa memang wujud perbuatan menutup rahsia keatas pembunuhan itu. ..

    Ini bermakna bahawa AG pihak Polis dan sesiapa sahaja dalam Kerajaan memang bersekongkol untuk menutup skandal itu – sama ada dengan niat ataupun tidak menyedarinya.

    Soalan yang menghantui ramai rakyat malaysia ialah apakah Najib dan isterinya Rosmah pernah menemui Altantuya Shariibuu sebelum itu, di mana sahaja di dunia ini seperti di Himalayas, di Amazon, di Peranchis atau pun di mana sahaja?..

    Apakah Najib tahu bahawa Altantuya pernah memberikan khidmat perundingan seperti penterjemahan dan alihbahasa kepada syarikat ataupun beberapa syarikat milik Razak baginda ataupun kepada Razak Baginda sendiri dalam perjanjian jualbeli kapal selam Peranchis? .

    Apakah sikap diam membisu Najib itu disebabkan dua orang pegawai UTK dalam kes pembunuhan adalah pengawal peribadi beliau dan polis wanita yang tidak pun dikenakan sebarang tuduhan adalah pengawal peribadi Rosmah, turut mengapikan pelbagai andaian dalam misteri kematian itu. .

    Anwar juga telah bersuara lantang menyindir Najib dengan mempersoal pembabitan beliau dalam pembelian jet pejuang Sukhoi bernilai RM3.2 bilion di mana komisennya ialah USD 100 juta. Orang lain yang terlibat dan disebut namanya oleh Anwar ialah Dato Seri Adib Adam dan adiknya Askiah Adam yang satu ketika dulu merupakan anggota Sisters in Islam.

    Anwar sedang menyerang Najib yang sedang goyah kedudukannya laksana seekor ‘hyena’ (serigala lapar) yang menghambat mangsa untuk dibahamnya. Anwar memang sedang berusaha sebaik mungkin untuk menganggotai UMNO semula. Kes Altantuya adalah laksana hadiah rahmat baginya. Anwar tidak akan melepaskan peluang ini. Najib dan orangnya sudahpun dilihat sebagai ‘berita basi” sahaja.

    Seandainya Najib tersingkir akan muncul nanti wajah baru sebagai TPM baru ataupun besar kemungkinan dua orang TPM yakni Khairy Jamaluddin dan Anwar Ibrahim? Apakah ini satu senario yang serba mungkin? Akan tetapi kalau Najib jatuh, apakah dia tidak akan meruntun sama keseluruhan sistem UMNO mengikutinya?

    Anwar telah juga mula menyagat Nor Mohamed Yakcop dengan mengulangi tuduhan bahawa Nur Mohamed telah melakukan perbuatan haram dan jenayah kerana menyekat saluran maklumat kepada Gaboner Bank Negara ketika dia terlibat dengan kegiatan haram perdagangan forex dan beliau telah dipecat daripada jawatannya. Ketika itu Anwar berkata bahawa Nor Mohamed tidak boleh memegang sebarang jawatan dalam industri kewangan negara. Namun, kini beliau ialah Menteri Kewangan Kedua Malaysia yang bertanggungjawab terus kepada Khairy Jamaluddin.

    Perdana Menteri sedang sibuk berurusan melihat bot beliau di Turki, membuka kedai nasi kandar, melihat hartanah di Australia dan menjadi tuan rumah kenduri durian. Kerja-kerja mentadbir negara diserahkan kepada budak-budak hingusan di Tingkat Empat.

    MIER (Malaysian Institute of Economi Research) telah diarah mengulangi tindakan kerajaan yang mengatakan bahawa ekonomi 2007 akan meleset. Taksiran awal mengatakan pertumbuhan 6% untuk tahun ini telah pun dikurangkan kepada 5.2%. Tahun sudah, gembar-gembur jangkaan 6.2% sudahpun akhirnya dikecutkan menjadi 5.8%

    Tun Dr. Mahathir tidak lagi mempercayai perangkaan Malaysia. Rancangan Malaysia ke-9 (RMK-9) telah meramalkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 6%. Tetapi untuk dua tahun secara berturut-turut, kadar pertumbuhan itu telah menggelongsor kepada tahap 5%. RMK-9 turut meramalkan hasil minyak berasaskan harga USD 64 per tong. Kini minyak didagangkan pada kadar USD50 per tong. Analisis meramalkan minyak akan bertahan pada USD45 hingga USD48 per tong.

    Sebagai perbandingan, KLSE telahpun mencecah 1139 mata, dan masih naik mencanak. Nampaknya jajaran KLSE tidak ada kena mengena dengan fundamental ekonomi negara lagi. Banyak wang panas sudah masuk mengalir ke dalam pasaran rantau ini, dengan impian dapat membalun keuntungan daripada kadar tukaran dollar yang semakin lemah, sambil marak melonjakkan harga saham. Apabila wang panas ini mula berundur KLSE akan merudum. Soalnya sekarang bilakah ini akan terjadi?. Thailand sudahpun mengambil langkah tegas dan berani untuk menyekat gerakan ini dan mengenakan sekatan kepada para spekulator asing dengan mengenakan sekatan (pembekuan) 12 bulan kepada 30% dana yang dilaburkan dalam pasaran saham, hartanah, bon dan pinjaman matawang asing. Di Malaysia malangnya, kita dapati kerajaan Malaysia masih sibuk bermesyuarat dengan para pengurus dan pengendali wang haram asing yang turut memberikan cadangan agar kerajaan meminjam USD 50 bilion untuk membiayai RMP-9. Soalnya sekarang apa akan jadi kepada matawang kita?

    Seperti yang disebut oleh Prof Khoo Khay Kim, negara ini sudah hilang hala tujuannya. Ada seorang pemerhati mencadangkan agar kepimpinan negara diserahkan kepada Khairy Jamaluddin. Apakah ini satu idea yang celupar? Salah seorang perdana menteri Britian yang paling terkenal dalam sejarah negara itu ialah – Benjamin Disraeli - yang menjadi Perdana Menteri ketika dia baru mencapai usia 32 tahun semasa pemerintahan Ratu Queen Victoria. Seorang Perdana Menteri Malaysia yang berusia 32 tahun mungkin membawa kebaikan kepada negara ini. …

    Kalaulah Najib berundur daripada arena politik, Badawi boleh memberi laluan kepada anak menantunya, dengan cara ini kita akan dapat menjimatkan masa. Negara akan diselamatkan daripada masalah pertelagahan kerana mahukan kuasa. Akan berlaku kurang aktiviti rasuah dan pembinaan tabung dana perang. Inilah prasyarat untuk sesiapa mahu naik tahkta UMNO. Khairy boleh teruskan usaha mentadbir negara.

    Yang pasti Khairry perlu mendapatkan penasihat yang lebih baik. Negara ini memerlukan kerja-kerja pengolahan ekonominya semula. Kementerian Kewangan sedang berserabut sedangkan beberapa unit penting seperti Unit Perancang Ekonomi telah pun terpinggir. MITI sudah menjadi tidak berguna dan Kementerian Hal Ehwal Perdagangan Dalam Negeri sudah pun mengecut untuk menjalankan tugas menghambat lanun DVD .



    Apa yang diperlukan ialah Kementerian Pembangunan Ekonomi yang melibatkan MITI, Kementerian Dagang Dalam Negeri, EPU, institusi kewangan, KLSE dan Suruhanjaya Sekuriti.

    Kementerian Kewangan akan memainkan peranan sebagai tukang pembayar wang.

    Perhatian berat perlu ditumpukan kepada kerja-kerja menggerakkan ekonomi. Perdana Menteri tidak lagi mampu menguruskan tanggungjawabnya. Pertumbuhan 6.4% pada 2005, 5.8% dalam 2006, 5.2% dalam 2007 adalah gambaran jelas dan nyata bahawa PM yang ada memang sedang berdengkur dalam tugasnya.

    ....

0 Comments:

Post a Comment

<< Home