Monday, January 08, 2007

Isteri Mangsa ISA Paturt Celupar Berdepan SB Kurang Ajar

Isteri mangsa ISA patut celupar berdepan SB kurang ajar!

Saari Sungib Sun Jan 07, 07 08:41:16 AM

Manipulasi psikologi pertama yang dilakukan oleh Special Branch (SB) dan pegawai penyiasat (IO) di bilik soal-siasat adalah menerapkan dalam diri tahanan perasaan bahawa SB dan IO berhak untuk berkuasa ke atas diri tahanan.

Oleh kerana sebahagian besar rakyat Malaysia kurang mengetahui hak mereka, maka pendekatan ini digunakan sehabis-habisnya oleh SB dan IO. Polis, SB dan IO hanyalah kakitangan awam. Gaji mereka yang mereka bawa balik untuk beri makan minum anak bini adalah daripada cukai yang dikenakan oleh kerajaan ke atas rakyat. Sebenarnya, mereka membesarkan anak bini mereka pun adalah di atas ehsan rakyat!.

Seperti juga kita, SB hanyalah rakyat biasa yang tidak punyai hak mengatasi hak kita. Apatah lagi memiliki kuasa untuk membatalkan hak kita sebagai rakyat Malaysia. Indoktrinasi zaman penjajahan telah berjaya menerapkan kepada majoriti rakyat, malangnya termasuk sebahagian aktivis hingga hari ini untuk beranggapan bahawa SB atau polis mempunyai kuasa ke atas mereka.

SB tidak ada hak untuk menakut-nakutkan kita. IO juga tidak perlu kita terlalu hormati sehingga semua desakan, paksaan dan soalannya mesti kita berikan jawapan. Ingat!, tiada sesiapa yang boleh memaksa kita untuk mengaku melakukan sesuatu yang tidak kita lakukan. Bahkan tidak ada mana-mana IO yang boleh memaksa kita kita bercakap dan menjawab soalan mereka kalau kita tidak mahu menjawab!

Ingat semua

Apa yang boleh mereka lakukan kalau kita tidak mahu tunduk kepada kemahuan mereka? Mereka mahu pukul kita? Belasah kita? Pukullah! Belasahlah! Kalau kena pukul, ingatkan muka orang yang memukul, berapa pukulan yang singgah ke badan, pukulan itu dilakukan dengan apa? tangan? kaki? kayu? batang penyapu?. Ingat semua.

Tanamkan azam bila ada peluang berjumpa isteri semasa lawatan keluarga, dedahkan segala-galanya semuanya kepada isteri. Jangan takut. Persetankan SB-SB yang berada di keliling kita semasa lawatan keluarga. Anggaplah sahaja mereka tidak ada di keliling kita. Kalau SB-SB itu halang kita mendedahkan bahawa kita dipukul semasa lawatan keluarga, menjerit! melolong!. Minta anak-anak isteri yang hadir dalam lawatan tersebut untuk turut menjerit dan melolong! Protes habis-habisan!

Kalau kita tidak diberi ruang untuk bertemu keluarga semasa tempoh soal-siasat 60 hari, tanamkan azam untuk beritahu kepada dunia luar – peguam, Suhakam, BA, NGO sebaik sahaja kita ada peluang untuk menyampaikannya. Jangan sekali-kali pendamkannya dalam hati dan perasaan.

Kalau ditakdir dihumban ke Kem Kamunting, jangan duduk diam. Ceritakan semua yang dilalui kepada keluarga dan kalau boleh dapatkan peguam. Jangan takut akan didakwa kerana membuat tuduhan tanpa bukti. Memang lebam dan bengkak kesan pukulan IO semasa soal-siasat sudah hilang selepas 60 hari. Buktinya adalah diri kita sendiri!. Buktinya adalah kata-kata kita yang benar!.Buktinya adalah keberanian kita!.

Bersikap yakin
Yakinlah bahawa pembohongan dan pendustaan tidak dapat menewaskan kebenaran dan kejujuran. IO dan SB adalah golongan pembohong dan pendusta, sedangan kita adalah golongan yang walaupun dianiaya dan diseksa berada di pihak yang benar dan jujur. Jangan takut untuk menegakkan yang benar jika kita benar. Inilah tarbiyyah yang sangat penting dalam menghadapi kekejaman ISA.

Selain itu, para aktivis hendaklah tahu bahawa manipulasi psikologi berlaku jauh lebih awal sebelum ia ditangkap dan ditahan. Ianya bermula beberapa hari sebelum (biasanya 24 jam tiga hari tiga malam) dan juga pada hari penangkapan dibuat.

Saya telah menjelaskan fasa ini dalam siri-siri penulisan saya sebelumnya. Baca dan hayatilah ia. Bagi saya inilah fasa yang amat penting untuk difahami oleh para aktivis, isteri dan anak-anak mereka. Ini kerana kegagalan aktivis, keluarga dan rakan-rakan mereka memahami manipulasi psikologi pada tahap inilah yang menjadikan operasi penahanan ISA berjaya.

Jika fasa manipulasi psikologi pada tahap ini dapat dipatahkan, kita akan dapati bahawa tahanan mampu memberi nasihat, pesanan dan arahan yang tepat dan betul untuk dilaksanakan oleh isterinya.

Ingat, isteri aktivis bukan sekadar teman biasa. Isteri kita adalah rakan seperjuangan dan pembantu yang setia. Jika kita adalah seorang pejuang maka isteri kita bukan setakat isteri seorang pejuang tetapi isteri kita juga adalah seorang pejuang!

Tarbiyyah rumah tangga dalam kehidupan suami isteri akan banyak membantu untuk menangkis manipulasi psikologi SB pada hari penangkapan, terutama jika penangkapan dijalankan di rumah.

Peranan isteri

Latihlah isteri mengetahui haknya. Tidak ada seorang manusia pun boleh menguasainya di rumah selain suaminya. Tiada seorang SB pun boleh berlaku kurang ajar di rumahnya. Aktivis mesti berani dan didiklah isteri untuk menjadi berani. Manipulasi psikologi yang cuba dilakukan oleh SB pada hari penangkapan akan gagal jika isteri berani. Biar isteri menjerit, bertengkar dan kalau boleh menyergah dan bercakap dengan suara yang tinggi dengan SB-SB yang mahu menangkap suaminya.

Kalau ada ulamak yang membenarkannya, saya ingin syorkan agar berilah ruang secukup-cukupnya kepada isteri untuk memaki hamun SB-SB yang masuk ke rumah untuk menahan suaminya.Bila berdepan dengan SB-SB yang kurang ajar itu, tindakan paling baik dilakukan oleh isteri aktivis adalah bermulut celupar!

Paling sesuai diucapkan oleh isteri kepada SB yang datang ke rumah untuk menangkap suami adalah ungkap seperti:"You jangan kurang ajar ya.. jangan apa-apakan suami I.. Kalau you apa-apakan dia.. jaga you!...I saman you.. I'll charge you in court!!"

Sebaik-baiknya aktivis hendaklah mendidik dan meminta isteri menghafal kalimah keramat di atas!. Bagi saya kalimah yang paling sempurna, syamil dan kamil untuk diucapkan oleh isteri kepada SB yang menangkap suaminya adalah kalimah di seperti di atas!, iaitu: "You jangan kurang ajar"!.

SB-SB benci, tercalar ego dan terseksa batinnya apabila berdepan dengan isteri tahanan yang berani, celupar dan bermulut laser!

Bagi saya di antara kesempurnaan akhlak seorang isteri adalah ia memiliki mulut celupar dan mulut laser bila berdepan dengan SB!. Hanya depan SB!!.

Apa pun, seperti yang saya syorkan sebelum ini. Jangan halang SB-SB daripada membawa tahanan keluar dari rumah. Biarlah tindakan kita hanya merupakan tindakan politik. Ini kerana semua penahanan ISA adalah penahanan politik. Politik kita lawan dengan politik.

Walau bagaimanapun saya tabik dan hormat dengan keputusan dan tindakan Asy-Syahid Ibrahim Libya yang tidak mahu membenarkan dirinya ditangkap dan ditahan di bawah ISA. Beliau telah membayarnya dengan nyawanya!. Semoga Allah merahmatinya.

Manipulasi psikologi seterusnya yang dilakukan oleh SB adalah di balai polis pertama. Di situ hampir pasti SB akan mengarahkan tahanan untuk membuka pakaian bertelanjang bulat. Ingat!, aktivis tidak perlu patuh dengan arahan mengarut itu!. Buat tidak tahu sahaja. Jangan takut!. Katakan kepada SB: "Tunjukkan kepada saya mana undang-undang. . prosedur..peraturan yang membolehkan you suruh I bogel". Kalau SB paksa juga, tanamkan azam dan katakan:"Kalau you nak buka..try lah".

Dengan keazamanan seperti ini, aktivis mesti bersedia untuk mempertahankan diri secara fizikal daripada serbuan SB-SB yang tercabar egonya!. Tanamkan azam bahawa: "Kalau mereka nak tanggalkan pakaian aku... biar mereka buat masa aku pengsan kena belasah"!. Kalau aktivas merasa gagah luahkan azam ini dengan mencabar mereka seperti berkata: "Try lah... langkah mayat I dulu.. lepas tu baru you boleh bogelkan I".

Kita lawan manipulasi psikologi dengan manipulasi psikologi. Tidak ramai SB-SB keparat yang mahu membawa jasad kita keluar sebagai mayat dari bilik soal-siasat! . Wiridkanlah dalam hati aktivis: "SB just don't have any damn right to frighten me"! Insya' Allah ia satu tarbiyyah yang diredhai Allah.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home